Berdepan Persepsi Negatif Barat, Ini Bukti Sebenar Malaysia ‘Pulun’ Menjaga Alam Sekitar & Habitat Gajah
Kemusnahan alam sekitar semakin menjadi perhatian utama dunia, terutamanya kini banyak spesies terancam berada di ambang kepupusan.
Malaysia sering berdepan dengan kritikan kerana didakwa gagal mengamalkan amalan perladangan mampan dan menyebabkan kemusnahan alam sekitar. Usaha pemuliharaan oleh syarikat perladangan di Sabah telah mencuri perhatian.
Bernama telah menyertai lawatan media anjuran MPOGCF November lalu bagi meninjau projek pemuliharaan di Sabah yang mempunyai kaitan dengan perkara ini.

Projek ini melibatkan Koridor Hidupan Liar Brumas, Kawasan Konservasi Sungai Pin, dan Santuari Gajah Borneo, yang menunjukkan usaha menjaga alam sekitar.
Koridor Hidupan Liar Brumas

Koridor seluas 1,067 hektar ini diwujudkan sejak 2014 oleh Sabah Softwood Berhad untuk memudahkan pergerakan haiwan seperti gajah, orang utan, dan beruang tanpa mengganggu ladang kelapa sawit.
MPOGCF dan Universiti Putra Malaysia membantu dengan penanaman rumput Napier Taiwan untuk makanan haiwan serta 85,000 pokok kertas untuk ekosistem seimbang.
Koridor ini turut dibuka kepada pelancong bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang usaha pemuliharaan alam.
Santuari Gajah Borneo

Santuari ini di Kinabatangan melindungi spesies gajah pygmy yang hanya terdapat di Borneo. Kini, tujuh ekor gajah, termasuk yang cedera seperti Agatis dan Amuak, dipelihara di sini.
Gajah di santuari ini dilatih untuk berinteraksi dengan manusia, namun lawatan hanya dibuka untuk sekolah dan jabatan tertentu.
Perlindungan Gajah Borneo

MPOGCF melabur RM2.7 juta untuk klinik veterinar dan kandang baru bagi menampung lebih banyak gajah. Projek ini dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun.
Selain itu, RM1.2 juta digunakan untuk survei populasi gajah dan orang utan, menyokong usaha pemuliharaan lebih meluas.
Hidupan Liar di Sungai Kinabatangan

Usaha pemuliharaan hidupan liar di Sungai Kinabatangan, Sabah juga dijalankan oleh Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan MPOGCF, termasuk pembinaan jambatan gantung untuk orang utan dan pemasangan perangkap kamera untuk memantau jumlah hidupan liar.

Kejayaan inisiatif tersebut dapat dilihat dengan peningkatan populasi orang utan dan penemuan pelbagai spesies terancam – musang sawit asia, lutung perak dan tenggiling sunda.
MPOGCF, peranan penting dalam kejayaan
Namun, kejayaan ini bukan datang tanpa sokongan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) memainkan peranan penting dalam memastikan projek ini dapat diteruskan.
Dengan sokongan dari pihak seperti MPOGCF, SSB mampu melaksanakan projek pemuliharaan ini tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Pensijilan seperti RSPO dan MSPO membuktikan komitmen Malaysia terhadap kelestarian, sekaligus meningkatkan kepercayaan global terhadap produk sawit tempatan.