Siakap Keli
Gambar: MYSA

Fenomena Istiqbal Marikh Dapat Dilihat Bermula Awal Malam Ini

Fenomena Istiqbal Marikh Dapat Dilihat Bermula Awal Malam Ini

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam satu kenyataan memaklumkan orang ramai berpeluang untuk melihat fenomena Istiqbal Marikh yang berlaku pada 16 Januari 2025, hari ini.

“Peta langit malam pada 16 Januari, jam 11 malam di langit Kuala Lumpur yang menunjukkan planet Marikh dapat diperhatikan di kawasan buruj Gemini.

“Pada hari tersebut, Marikh akan terbit pada jam 7.17 malam dan terbenam pada jam 7.31 pagi keesokkan harinya,” maklum kenyataan tersebut.

Tambah MYSA, Istiqbal Marikh merupakan suatu fenomena astronomi yang berlaku apabila Marikh berada di dalam kedudukan tepat di belakang Bumi dan bertentangan dengan kedudukan bumi.

Perkara ini menyebabkan Marikh berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi, yang kelihatan lebih cerah dan lebih besar.

“Semasa fenomena istiqbal ini, permukaan Marikh yang menghadap Bumi akan disinari sepenuhnya oleh Matahari serta boleh dilihat dengan lebih terang dan lebih besar berbanding ketika ia berada pada kedudukan lain.

“Ia juga akan kelihatan sepanjang malam di buruj Gemini pada jarak sekitar 1.53 unit astronomi (AU) dari Matahari dan hampir 0.64 AU dari Bumi,

“Diameter ketara Marikh sebanyak 14.5 saat arka dan magnitud ketara (kecerahan) Marikh dijangka sekitar -1.4 pada kedudukan istiqbal ini.

“Sepanjang Januari sehingga April 2025, planet Marikh akan kelihatan di langit malam di ufuk timur selepas Matahari terbenam (waktu maghrib) dan kenampakannya semakin menghala ke arah barat sehingga sebelum Matahari terbit.

“Sekiranya cuaca mengizinkan, anda boleh memerhatikan planet Marikh menggunakan mata kasar sahaja dengan menghadap ke ufuk timur yang bebas daripada sebarang halangan pada awal malam.

“Marikh akan kelihatan sebagai titik yang terang kemerahan dan tidak berkelip.

“Sekiranya anda ingin memerhatikan permukaan Marikh yang berwarna merah serta litupan ais kutub (polar ice cap) yang berwarna putih, penggunaan teleskop adalah digalakkan,” maklum kenyataan tersebut.

Untuk maklumat, planet Marikh akan mengalami istiqbal dalam tempoh setiap 26 bulan.

Kali terakhir ia berada pada kedudukan istiqbal ialah pada 8 Disember 2022 dan seterusnya akan terjadi semula pada 19 Februari 2027.

https://www.facebook.com/mysaangkasa/posts/pfbid0JFyAigwqfjrLGaUh9ToANrGgQzftCWxs8JtPpD3ZLiVqq5FpW3CaewoAVNw1tUMol

Sumber: MYSA

BACA: Menara KL Akan Pancar Cahaya Hijau, Tanda Masuk Waktu Maghrib & Isyak

BACA: Tigerair Taiwan Beri Bonus 12.8 Bulan, Kenaikan Gaji Sehingga 4%

 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.