Kenapa Saintis Tak Boleh Ramal Bila Gempa Bumi Nak Berlaku?
Gempa bumi adalah salah satu bencana alam yang paling dahsyat dan boleh mengakibatkan kerugian besar kepada manusia.
Setiap hari, ada sahaja kejadian gempa bumi dilaporkan berlaku. Jika skalanya besar, laporan susulan kemudian mungkin akan menyebut tentang angka kematian dan sebagainya.
Hari ini, manusia sudah mencapai pelbagai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Namun saintis masih belum mampu untuk membuat jangkaan dengan tepat bila gempa akan berlaku, berdasarkan analisis ke atas data-data yang ada.
Lalu timbul persoalan, mengapa manusia tidak dapat membuat jangkaan tentang gempa bumi, sama seperti kita membuat jangkaan bila hujan akan berlaku?
Jadi kali ini, SK ingin berkongsi dengan anda semua beberapa info menarik untuk menjawab persoalan di atas.
Kenapa manusia tak boleh ramal bila gempa bumi nak berlaku?
Menurut portal Nature Computational Science, meramalkan kejadian gempa bumi adalah tugas yang sangat sukar.
Agensi-agensi besar seperti Pusat Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) yang dilengkapi pelbagai instrumen canggih pun tidak pernah membuat ramalan tentang kejadian gempa bumi.
Malah jika dirujuk pada portal USGS, badan itu sendiri mengakui mereka tidak tahu bagaimana mahu meramal bila gempa bumi berlaku, sama ada sekarang atau di masa hadapan.
USGS berkata, ramalan gempa bumi yang dibuat perlu menjelaskan tiga perkara asas iaitu masa dan tarikh, lokasi dan magnitud gempa yang akan berlaku.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak yang dapat membuat ramalan dengan tepat melibatkan ketiga-tiga elemen tersebut.
Banyak cabaran yang dihadapi berasal dari sifat semula jadi gempa
Antara cabaran terbesar untuk saintis membuat ramalan adalah berpunca daripada sifat semula jadi gempa bumi itu sendiri.
Menurut NBC News, gempa bumi berlaku dengan sangat cepat. Ia tidak seperti kereta api yang bergerak di atas landasan, secara perlahan-lahan sehingga mencapai kelajuan maksimum.
Gempa bumi sebaliknya berlaku secara mengejut dan kejadian yang berlanjutan.
Bencana ini juga selalu berlaku tanpa sebarang amaran. Walaupun saintis mengkaji pelbagai petanda berpotensi, namun masih belum mampu mengaitkan mana-mana isyarat konsisten yang diterima dengan gempa yang pasti berlaku.
Kekurangan mana-mana petanda yang jelas menyebabkan agensi meteorologi tidak dapat membuat ramalan yang tepat tentang gempa, seperti ramalan cuaca yang lain.
Proses yang menjurus kepada kejadian gempa berlangsung dalam tempoh yang lama
Manakala proses-proses yang menjurus kepada kejadian gempa bumi seperti pergerakan dan pelanggaran plak tektonik serta tenaga yang terkumpul biasanya berjalan dalam tempoh yang panjang.
Jadi, saintis hanya mampu membuat perkiraan kebarangkalian gempa akan berlaku di lokasi spesifik dalam tempoh beberapa tahun tertentu sahaja.
Misalnya, saintis boleh meramalkan kejadian gempa bumi kuat mungkin berlaku di lokasi A dalam tempoh 200 tahun akan datang.
Ramalan ini mungkin kedengaran spesifik dalam garis masa geologikal, namun ia tiada apa-apa makna signifikan kepada manusia.
Secara mudahnya, proses yang menyebabkan gempa terjadi berlaku di dalam bumi yang mana sukar untuk dicerap.
Berbeza dengan ramalan cuaca seperti hujan atau bencana taufan, proses yang berlaku lebih mudah dicerap misalnya menggunakan teknologi satelit.
Walaupun kita tiada cara untuk meramal kejadian gempa bumi, namun manusia masih boleh membuat persediaan. Salah satunya menerusi sistem amaran awal.
Misalnya ShakeAlert yang digunakan USGS mampu mengesan isyarat awal apabila sesuatu gempa bumi yang signifikan sudah berlaku di California, Oregan dan Washington.
Sistem ini kemudian akan mengeluarkan amaran yang dihantar terus ke radio, televisyen dan alat selular untuk meminta orang ramai berlindung di tempat selamat.
BACA: Gempa Kuat 7.1M Gegar Tibet, 93 Maut Setakat Ini
Sumber: USGS, NBC News, Nature Computational Science