Siakap Keli
Nafkah isteri diceraikan
Gambar: Freepik

Hukum Nafkah Isteri Yang Diceraikan

Hukum Nafkah Isteri Yang Diceraikan

Seorang suami memikul tanggungjawab besar dalam menjaga kebajikan isteri dan keluarga, termasuk menyediakan nafkah yang mencukupi.

Tanggungjawab ini bukan sekadar tuntutan adat atau budaya, malah ia merupakan kewajipan agama yang termaktub dalam syariat Islam.

Nafkah yang diberikan bertujuan memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan perkara-perkara lain yang wajar untuk kesejahteraan hidup bersama.

Namun, persoalannya, adakah kewajipan memberikan nafkah masih terpakai selepas ikatan perkahwinan terlerai? Bagaimana pula bentuk nafkah yang perlu diberikan kepada isteri yang telah diceraikan?

Bagi mengupas persoalan tersebut, kami bawakan penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan.

Soalan

Salam Dato’. Adakah suami wajib memberi nafkah selepas menceraikan isteri?

Ringkasan Jawapan

Wanita yang telah bercerai pada asasnya berhak mendapat nafkah dalam tempoh idahnya daripada bekas suaminya berdasarkan kepada beberapa syarat.

Nafkah yang dimaksudkan tersebut adalah merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Hak nafkah idah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri iaitu sama ada idah tala raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah dalam masa idahnya daripada bekas suaminya. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡهِنَّۚ وَإِن كُنَّ أُوْلَٰتِ حَمۡلٖ فَأَنفِقُواْ عَلَيۡهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فَ‍َٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأۡتَمِرُواْ بَيۡنَكُم بِمَعۡرُوفٖۖ وَإِن تَعَاسَرۡتُمۡ فَسَتُرۡضِعُ لَهُۥٓ أُخۡرَىٰ

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”

Surah al-Talak (6)

Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami.

Bagi isteri yang berada dalam idah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan.

Walaubagaimanapun, sekiranya isteri itu diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh idah tersebut.

(Rujuk: Minhaj al-Tolibin, 264)[1] (Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 535)[2]

Manakala, perempuan yang berada dalam idah talak ba’in dan mengandung, berhak mendapat nafkah perbelanjaan termasuk tempat tinggal. Syeikh Zainuddin ada menyebut:

وتجب النفقة أيضا لمطلقة حامل بائن بالطلاق الثلاث

Maksudnya“Nafkah juga wajib diberikan kepada wanita yang mengandung (yang telah diceraikan) dengan talak tiga.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, 536)

Namun, wanita yang diceraikan dengan talak ba’in wajib diberikan tempat kediaman dan tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan. Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail di dalam kitabnya seperti berikut:

  • Wajib diberikan (disediakan) tempat kediaman bagi perempuan yang dicerai ba’in.
  • Tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan seperti pakaian, lauk dan lain-lain lagi kecuali mengandung mengikut pendapat yang sahih.

(Rujuk: Matla’ al-Badrain Pejabat Mufti Wilayah, 3/179)

Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa majoriti ulama fikah berpendapat bahawa suami tidak wajib memberi nafkah kepada isteri yang sedang dalam idah kematian.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/ 7405)[3]

Selain itu juga, mengikut undang-undang keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan bahawa isteri yang telah bercerai berhak untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu sehingga tamat tempoh idah atau sekiranya isteri nusyuz.

Hal ini dinyatakan di dalam seksyen 65 (1):

“Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz.”

Kesimpulan

Islam menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah terhadap isteri bukan sahaja sepanjang tempoh perkahwinan, bahkan pensyariatan ini berjalan dan dilaksanakan selepas terjadinya perceraian.

Justeru, hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri, iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami.

BACA: Mufti Wilayah Jelas Penentuan Kadar Nafkah Ikut Kemampuan Suami

BACA: Mufti Wilayah Jelaskan Hukum Guna Sebahagian Duit Kutipan Derma Untuk Tujuan Pengiklanan

BACA: Apa Hukum Berkahwin Di Bulan Syawal? Ini Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.