Peguam Jelaskan Maksud Pendakwaan Tutup Kes
Sering kali berlaku salah faham apabila perkembangan satu-satu kes dihebahkan kepada orang ramai. Mungkin disebabkan kurang kefahaman berkenaan istilah yang digunakan di peringkat undang-undang.
Salah faham ini tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan daripada pihak yang pakar dalam bidang perundangan kerana dikhuatiri membarah dan bakal menimbulkan keraguan orang ramai terhadap institusi kehakiman kita.
Baru-baru ini, heboh di media sosial apabila berlaku salah faham berkenaan maksud ‘pendakwaan tutup kes’. Bagi meredakan kemarahan orang ramai berikutan salah faham ini, peguam, Mufarwa Farid tampil memberi penjelasan perkara tersebut.
Ikuti penjelasan penuh peguam berkenaan di bawah.
Tutup kes pendakwaan, bukan bermaksud kes ditamatkan
Tutup kes pendakwaan bermaksud, pendakwaan sudah selesai panggil saksi-saksi.
Selepas Pendakwaraya tutup kes pendakwaan, Mahkamah akan arahkan Pendakwaan dan Peguam untok failkan hujahan bertulis. Tempoh hujahan bertulis ini antara 1 ke 3 bulan.
Lepas hujahan difailkan, Mahkamah akan beri keputusan. Tapi bukan keputusan sama ada OKT bersalah atau tidak. Keputusan sama ada OKT perlu membela diri atau tidak.
Kalau Mahkamah berpuas hati dengan hujah-hujah Pendakwaan, maka OKT perlu membela diri.
Kalau Mahkamah tak berpuas hati, maka OKT boleh dibebaskan.
Kalau lah kata OKT perlu membela diri, OKT pula perlu panggil saksi-saksinya. Contohnya, isteri, orang awam, atau pihak polis sendiri. Waktu ni, kita panggil ia sebagai ‘kes Pembelaan’ pula. OKT kena buktikan yang beliau tak bersalah.
Selesai panggil saksi-saksi Pembelaan, maka Peguam perlu tutup pula kes Pembelaan.
Sekali lagi, Mahkamah akan arahkan Peguam dan Pendakwaan untuk failkan pula hujahan. Durasi waktu pun antara 1-3 bulan.
Habis sahaja hujahan difailkan, Mahkamah akan berikan keputusan sama ada OKT bersalah atau tidak. Waktu inilah baru OKT tahu sama ada dia dibebaskan, atau didapati bersalah dan akan dihukum.
Apapun, jangan fikir bukan-bukan ya. Tutup kes pendakwaan, bukan gugurkan kes. Kita ada 2 stage kes iaitu Kes Pendakwaan dan Kes Pembelaan (kalau ada).
Sekarang, tutup kes Pendakwaan bermaksud stage 1 baharu ditutup.
BACA: Kes Bunuh Muhammad Zaharif: Pendakwaan Tutup Kes, Pembelaan Fail Hujahan Bertulis 14 Mac
Sumber: Mufarwa Farid