Siakap Keli
bnm kekalkan opr
Kredit: Bernama

BNM Kekalkan OPR Pada 3 Peratus

BNM Kekalkan OPR Pada 3 Peratus

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Menerusi siaran media yang dimuat naik di laman sesawang rasmi BNM, penetapan keputusan ini berdasarkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024.

“Keadaan ini mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi-ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.

“Bagi tahun 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat,” kata BNM.

Menurut BNM, perdagangan global turut dijangka kekal mampan secara keseluruhan. Hal ini berikutan sokongan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

“Walau bagaimanapun, prospek ini boleh dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan sekatan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak.

“Ketidakpastian dasar yang kekal tinggi juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara,” tambahnya.

Di samping itu, melihat pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 berada pada kadar yang dijangkakan. Dengan adanya perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, pengukuhan kegiatan ekonomi yang dijangka berterusan bagi 2025.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional,” ujar institusi tersebut.

Selain itu, modal import yang menyokong pelaburan dengan lebih tinggi bakal menambahkan eksport selain mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.

“Eksport dijangka akan disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, pertumbuhan eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus meningkat dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi,” tambah BNM.

Di samping itu, kadar inflasi dijangka kekal terkawal dengan keadaan kos global yang semakin reda. Malah, tiada tekanan permintaan berlebihan dalam negeri turut menyumbang kepada pengekalan kadar inflasi.

“Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat. Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini terhadap inflasi dijangka terkawal.

“Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri dan harga komoditi global serta perkembangan pasaran kewangan,” maklum institusi itu lagi.

Sumber: Bank Negara Malaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.