Boost Mencatatkan Pertumbuhan Kukuh Pada 2024, Bersedia Menjadi Kumpulan Perbankan Digital Serantau
Kuala Lumpur, 21 Januari 2025 – Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, mengakhiri 2024 dengan nota cemerlang, mencapai sasaran utama yang mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemimpin transformatif dalam lapangan kewangan digital. Dengan fokus terhadap inovasi, kebolehsampaian, dan keterangkuman kewangan, Boost terus menambah baik produk-produk yang ditawarkan, membina ekosistem bersepadu yang memberdayakan individu dan perniagaan kecil. Memandang ke hadapan, Boost kini mempercepatkan langkah untuk beralih menjadi kumpulan perbankan digital serantau, dengan visi jelas untuk mencorak sempadan baharu dalam perbankan digital dan perkhidmatan kewangan di Asia Tenggara.
Melayari Momentum Ekonomi Digital yang Rancak
Menurut laporan e-Conomy SEA 2024, sektor perkhidmatan kewangan digital (DFS) Asia Tenggara dijangka menjana pendapatan sebanyak $33 bilion, dipacu oleh penggunaan pembayaran QR dan pinjaman digital yang meluas. Boost telah memanfaatkan pertumbuhan ini dengan memperoleh deposit berjumlah lebih daripada RM700 juta dalam enam bulan pertama operasi, manakala Boost PayFlex mengagihkan lebih daripada RM240 juta sejak dilancarkan. Pencapaian ini membuktikan kebolehan Boost untuk menawarkan solusi kewangan yang inovatif dan seiring dengan citarasa pengguna. Mengukuhkan lagi posisi sebagai platform yang dipercayai, Boost mencatatkan Nilai Transaksi Kasar (GTV) yang mengagumkan, dengan jumlah transaksi tahunan mengatasi RM5.6 bilion.
“Tahun 2024 menandakan pencapaian penting untuk Boost, mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju fintech yang kini telah memperluaskan rangkaian perkhidmatan kami untuk merangkumi produk dan perkhidmatan perbankan. Pertumbuhan kami mencerminkan kepercayaan pengguna dan rakan kerja kami, di samping permintaan solusi kewangan digital inovatif yang semakin meningkat. Dengan memperluaskan rangkaian perkhidmatan kami termasuk pembiayaan, perkhidmatan gerbang pembayaran, deposit, dan pelaburan yang ditawarkan melalui pendekatan kewangan embedded, kami berada pada kedudukan unik untuk menjana impak bermakna untuk perniagaan kecil dan pengguna individu, bersamaan fasa kami berkembang ke arah menjadi kumpulan perbankan digital serantau. Dengan ekonomi digital Asia Tenggara yang berkembang pesat, Boost kekal komited untuk menawarkan solusi kewangan digital yang mudah diakses dan transformatif,” kata Sheyantha Abeykoon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost.
Perintis Perbankan Digital dan Solusi Kewangan Embedded
Pada Jun 2024, Boost Bank, bank digital anak jati Malaysia yang pertama dilancarkan dengan matlamat mencetuskan revolusi akses kewangan untuk komuniti yang kurang atau tidak menerima perkhidmatan perbankan. Dengan ciri-ciri mesra pengguna seperti pembukaan akaun RM1, kadar faedah harian yang kompetitif, dan Savings Jar, Boost Bank mendapat perhatian pengguna dalam tempoh singkat, memberdayakan pengguna untuk mengemudi kewangan mereka dengan lebih baik. Penerimaan baik daripada segenap segmen pengguna menunjukkan kebolehan untuk memenuhi keperluan perbankan moden seiring peredaran masa, sambil memupuk keterangkuman kewangan pada skala nasional.
Onboarding yang mudah juga telah meletakkan Boost Bank sebagai pendahulu sektor perbankan embedded, di mana 80% daripada pengguna mengakses perkhidmatan melalui app Boost, menandakan kebolehan Boost untuk berintegrasi dengan mudah ke dalam aktiviti kewangan harian pengguna. Faktor utama pertumbuhan ini ialah ciri-ciri inovatif dan kerjasama strategik dengan pemain-pemain utama seperti MYDIN, CKS Retail, Servay, Bataras, dan Farley, selain penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama, CelcomDigi. Perkhidmatan ini terbukti memenuhi citarasa pengguna, dan jika digabungkan, merangkumi 40% deposit keseluruhan sejak dilancarkan.
“Pelancaran Boost Bank merupakan langkah penting dalam perjalanan kami untuk mentakrif semula keterangkuman kewangan. Boost Bank bukan sahaja batu tanda untuk kami, tetapi juga untuk Malaysia. Ini tidak hanya melibatkan deposit atau akaun; sebaliknya, ia melibatkan pembinaan platform yang benar-benar memperkasakan individu dan perniagaan untuk berkembang maju. Kami berbangga dengan kerjasama strategik yang membolehkan kami mencapai segmen yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan. Melalui strategi utama ini, kami telah membolehkan komuniti-komuniti ini beralih kepada perbankan digital. Dengan menyatukan solusi digital inovatif dengan pemahaman mendalam berkaitan komuniti penerima perkhidmatan kami, kami membuka lembaran baharu dalam merangka konsep perbankan. Dengan solusi inovatif perbankan digital, kami berusaha membuka peluang ekonomi yang lebih besar di seluruh negara, memastikan tiada sesiapa ketinggalan,” kata Fozia Amanulla, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank.
Memperkasakan Perniagaan dan Pengguna Melalui Pembiayaan dan Transaksi Mudah
Boost terus memacu keterangkuman kewangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara dengan solusi inovatif untuk perniagaan dan pengguna individu. Portfolio pembiayaan Boost telah melangkaui RM5 bilion dalam pinjaman yang disalurkan di Malaysia dan Indonesia, memberi manfaat kepada ribuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Rangkaian solusi ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pendanaan dan memastikan pertumbuhan mampan untuk pelanggan PMKS.
Boost PayFlex berjaya mencatatkan pertumbuhan yang mengagumkan meskipun lewat memasuki segmen Buy Now, Pay Later (BNPL). Produk patuh Syariah ini telah memperoleh lebih daripada 121,000 pelanggan dan mengagihkan lebih daripada RM240 juta sejak dilancarkan. Dengan pasaran BNPL di Asia Tenggara dianggarkan mencecah $53.2 bilion menjelang 2027, di mana Malaysia disasarkan sebagai antara pasaran yang paling berkembang pesat,, Boost PayFlex menduduki posisi strategik untuk memanfaatkan trend ini. Dengan menekankan pendanaan bertanggungjawab dan menggalakkan keterangkuman kewangan, Boost PayFlex terus memberdayakan pengguna dengan solusi kewangan yang anjal dan mudah diakses.
Memperluaskan Operasi Serantau: Indonesia dan Kemboja
Di fasa Boost meluaskan operasi di seluruh Asia Tenggara, syarikat tetap komited untuk menawarkan solusi kewangan yang menangani cabaran unik di setiap pasaran. Di Indonesia, Boost memanfaatkan asas kukuh dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memasuki lapangan pinjaman pengguna melalui kerjasama strategik dengan pemain ekosistem. Kolaborasi ini menyediakan pilihan pendanaan untuk pelanggan telekomunikasi, lalu mengukuhkan keterangkuman kewangan di salah satu pasaran terbesar dan paling dinamik di Asia Tenggara.
Di Kemboja, Boost bekerjasama dengan Smart Axiata untuk melancarkan program pinjaman pengguna dengan tujuan merapatkan jurang kritikal akses kewangan dalam pasaran. Dengan memanfaatkan rangkaian meluas Smart Axiata, inisiatif ini berhasrat melanjutkan perkhidmatan kewangan kepada komuniti yang kurang menerima perkhidmatan, sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberdayakan individu. Usaha ini selari dengan unjuran industri bahawa pinjaman digital akan terus bertumbuh pesat sepanjang 2025. Melalui peluasan operasi serantau dan produk inovatif yang ditawarkan, Boost terus memacu transformasi digital dan mengukuhkan keterangkuman kewangan di seluruh Asia Tenggara.
Memandang ke Hadapan: Misi Boost untuk 2025
Memandangkan sektor perkhidmatan kewangan digital Asia Tenggara diramalkan bertumbuh pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 31% sehingga hujung 2025, Boost berada di kedudukan sesuai untuk mendahului gelombang inovasi transformatif dengan menyatukan solusi perbankan embedded secara mudah, menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, intuitif, dan meninggalkan impak positif kepada individu dan perniagaan.
Bertitik tolak daripada solusi semasa yang ditawarkan, Boost Bank akan melancarkan produk baharu dan lebih terangkum kewangan yang bakal menjadi barisan utama dalam pemberdayaan kewangan. Hala tuju peluasan produk termasuk pinjaman pengguna di samping produk inovatif yang lain, yang akan memperkasakan PMKS dari segi kewangan. Boost Bank juga akan menekankan segmen pelanggan yang kurang atau tidak mendapat akses kepada perkhidmatan perbankan, dengan meluaskan ekosistem rakan kerja melalui kolaborasi yang berpaksikan keterangkuman kewangan.
Dalam segmen pinjaman pula, Boost akan menumpukan usaha mengukuhkan kedudukan dalam segmen BNPL pengguna dengan Boost PayFlex. Berasaskan prinsip pinjaman bertanggungjawab, Boost PayFlex akan melancarkan inisiatif bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan, membolehkan kebebasan kewangan untuk pengguna. Boost juga akan lebih menggalakkan keterangkuman kewangan, dengan memenuhi keperluan komuniti yang kurang atau tidak menerima perkhidmatan perbankan di seluruh Asia Tenggara, dengan menawarkan solusi kewangan digital inovatif yang direka untuk mengatasi cabaran kehidupan sebenar dan membuka peluang ekonomi yang berterusan.