Kerajaan Beri Potongan Tol 50% Sempena Tahun Baharu Cina
Kerajaan menerusi Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan bayaran tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025, lapor Bernama.
Menerusi kenyataan media Menteri Kerja Raya, Dato Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian diskaun tersebut akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan berakhir pada jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa).
Potongan tol ini hanya melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023,” kata beliau menerusi kenyataan tersebut.
Menurutnya lagi, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak RM356.18 juta pampasan telah dibelanjakan oleh pihak kerajaan bagi melaksanakan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan 2023 hingga 2024.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025. Ia selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Beliau berkata, usaha ini didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pengguna jalan raya agar memanfaatkan pengurangan kadar tol dengan sebaiknya serta merancang perjalanan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika cuti perayaan tersebut.
Orang ramai boleh mengakses MyPLUS-TTA dengan memuat turun aplikasi PLUS App (Official) bagi mendapatkan cadangan jadual perjalanan pada musim perayaan nanti. Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau layari media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
https://x.com/bernamadotcom/status/1882690006973923340
BACA: Pemberian Tol Percuma Musim Perayaan Lebih Bersasar Sedang Diperinci – PM Anwar
Sumber: Kementerian Kerja Raya