Siakap Keli
Diskaun tol 50%
Gambar: BERNAMA

Kena Tahu, Ini Penjelasan Sebalik Pemberian Diskaun Tol 50% Sempena CNY

Kena Tahu, Ini Penjelasan Sebalik Pemberian Diskaun Tol 50% Sempena CNY

Setiap kali musim perayaan tiba, berita mengenai pemberian tol percuma sememangnya sering dinanti-nantikan dan menjadi perhatian rakyat Malaysia. 

Umum diketahui, Kerajaan pada 20 Disember 2024 mengumumkan tol percuma tidak lagi akan diberikan sempena perayaan, yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Akan tetapi, tahukah anda bahawa atas ihsan Kerajaan, sebanyak RM356.18 juta telah dibelanjakan pada tahun 2023 dan 2024 sebagai pampasan tol sepanjang empat perayaan utama?

Dengan jumlah sebesar itu, tidak hairanlah apabila langkah tersebut diambil untuk memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang kian meruncing. 

Dalam masa yang sama, langkah ini bukan sekadar mengurangkan beban kewangan Kerajaan, tetapi juga membolehkan sumber negara disalurkan ke sektor-sektor lain yang lebih memerlukan perhatian, seperti pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pendidikan. 

Contohnya, pembangunan infrastruktur yang lebih meluas, seperti pembinaan jalan raya baharu, pembaikan jalan sedia ada dan pengembangan rangkaian pengangkutan awam. 

Selain itu, penyediaan bantuan terus kepada rakyat, seperti subsidi barangan keperluan asas, pemberian tunai kepada golongan rentan, serta peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. 

Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa langkah ini mencerminkan pendekatan Kerajaan yang lebih proaktif dan strategik dalam mengurus sumber negara untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

Rakyat mungkin perlu berkorban sedikit, namun manfaatnya untuk jangka panjang amat besar, bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelumnya berkata, Kerajaan memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, tindakan yang diambil adalah selaras dengan usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40, tanpa melibatkan semua pihak secara menyeluruh.

Ada pihak yang mempersoalkan mengapa tol percuma itu diberikan kepada semua, termasuk kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes dan Maserati. Oleh itu, kita perlu teliti supaya rakyat yang terkesan di peringkat bawah itu diberikan pertimbangan lain.

“Perkara ini sedang diperincikan. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini hanya menyatakan prinsip asas bahawa subsidi tidak boleh diteruskan untuk semua, seperti subsidi elektrik dan minyak,” katanya.

Walaupun begitu, meski keputusan ini dianggap wajar demi kestabilan ekonomi negara, kebimbangan rakyat tetap menjadi keutamaan. 

Kerajaan Madani mendengarkan suara rakyat, tidak membutakan mata mahupun memekakkan telinga.

Hasilnya, sebagai respons kepada isu ini, satu keputusan penting telah dibuat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.  

50% diskaun bayaran tol sempena CNY 2025

Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam, Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50% dari kadar tol biasa sempena Tahun Baru Cina (CNY) 2025.

Dalam satu kenyataan, Kerajaan memaklumkan bahawa implikasi kewangan yang ditanggung bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Diskaun tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa).

Ia terpakai untuk kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu: 

  • Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
  • Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)

Untuk info, keputusan ini selaras dengan agenda Kerajaan dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

Dalam pada itu, keupayaan Kerajaan untuk membuat keputusan ini tidak terlepas daripada kejayaan pengurusan kewangan negara. 

Kerajaan kini boleh membuat keputusan penting kerana keadaan kewangan negara semakin baik di bawah Kerajaan Madani. 

Ini hasil daripada langkah penyasaran subsidi elektrik dan diesel, serta usaha menarik pelaburan baru dari luar negara yang berjaya mencapai jumlah sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023, angka tertinggi dalam sejarah negara. 

Bukan itu sahaja, perdagangan negara juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan jumlah perdagangan mencapai RM2.879 trilion, yang merupakan rekod tertinggi pada tahun 2024. 

Panduan perjalanan sempena CNY 2025

Justeru, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang ini.

Pengguna disarankan memuat-turun apps MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan.

Selain itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). 

Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane juga diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.

Untuk maklumat lanjut, pengguna disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik). 

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1- 800-88-7752 untuk memperolehi keadaan trafik terkini atau bantuan. 

Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. 

Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.