Siakap Keli
Burung Hereng
Kredit: AFP

Kenali Burung Hereng, Penjaga Ekosistem Yang Terancam & Dilupakan

Kenali Burung Hereng, Penjaga Ekosistem Yang Terancam & Dilupakan

Burung adalah salah satu kumpulan haiwan yang paling menakjubkan yang ada di atas muka bumi ini.

Setakat ini, lebih 10,000 spesies buru berjaya dikenal pasti di seluruh dunia. Setiap spesies ini pula mempunyai ciri-ciri unik agar mudah beradaptasi dan bertahan dalam pelbagai persekitaran.

Selain menjadi simbol kebebasan dan keindahan alam semula jadi, burung juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Namun begitu, ancaman terhadap habitat semulajadi dan perubahan iklim telah memberi impak negatif kepada kelangsungan hidup haiwan ini. Antaranya seperti Burung Hereng atau dikenali sebagai ‘Vultures’.

Kenali burung hereng

Menurut National Geographic, burung hereng merupakan haiwan pemangsa dan sosial yang hidup di setiap benua kecuali Antartika dan Australia.

Difahamkan, terdapat 23 spesies yang dibahagikan kepada burung hereng (Dunia Baru) dari Amerika dan burung hereng (Dunia Lama) dari Eropah, Asia dan Afrika.

Sebagai contoh evolusi konvergen, kumpulan ini berkembang secara bebas dan tidak berkait rapat.

Dianggap sebagai pemakan bangkai

Walaupun burung hereng sering dianggap sebagai pemakan bangkai, namun tabiat berkenaan sebenarnya banyak memberi manfaat kepada manusia.

Dengan ‘membersihkan’ bangkai-bangkai, haiwan ini mampu menghalang bau busuk dan mengurangkan pencemaran karbon dengan ketara.

Malah, risiko bakteria seperti botulisme dan wabak yang boleh terbebas semasa proses pereputan bangkai juga boleh dikurangkan.

Adaptasi yang dimiliki oleh burung hereng membantu haiwan itu makan makanan yang sudah busuk atau bangkai dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh haiwan lain.

Burung tersebut dipercayai memiliki imuniti yang sangat kuat terhadap patogen tertentu yang boleh menyebabkan haiwan lain jatuh sakit atau mati.

Malah, burung hereng juga didapati mempunyai kandungan asid dalam perut yang sangat kuat, di mana boleh memusnahkan bakteria berbahaya dan membantu mendapatkan nutrien daripada makanan.

Pembiakan burung hereng

Menurut National Geographic, burung hereng biasanya hidup berpasangan atau dalam kumpulan kecil,

Malah, banyak spesies burung hereng adalah monogamous iaitu membiak dengan pasangan yang sama di setiap musim pembiakan.

Manakala burung ini pula membiak dengan cara bertelur dan membesarkan anak-anak dengan teliti.

Di samping itu, burung hereng sering membina sarang di lokasi yang tinggi seperti tebing, pokok besar atau kawasan tersembunyi di tanah untuk melindungi telurnya daripada pemangsa.

Kebanyakan spesies burung hereng bertelur satu atau dua biji dalam satu masa.

Telur-telur ini berwarna pucat dengan tompokan gelap dan diinkubasi oleh kedua-dua induk. Burung hereng baik yang jantan mahupun betina, bergilir-gilir menjaga dan menghangatkan telur selama beberapa minggu sehingga menetas.

Bagaimanapun, kadar pembiakan burung hereng sebenarnya adalah rendah. Salah satu puncanya adalah ancaman daripada aktiviti manusia yang memusnahkan habitat burung tersebut.

Oleh itu, usaha pemuliharaan boleh dikatakan sangat penting untuk kelangsungan spesies ini.

Ancaman dan pemuliharan burung hereng

Menurut National Geographic lagi, ada spesies tertentu burung hereng disenaraikan sebagai spesies yang sedang terancam.

Misalnya, spesies burung hereng merah (Podnicherry Vulture) dan Kondor California diklasifikasikan sebagai sangat terancam dan hampir pupus.

Di India dan Bangladesh, burung hereng putih, burung hereng paruh ramping dan burung hereng merah adalah spesies yang sangat terancam.

Bangladesh telah mewujudkan zon selamat untuk spesies ini

Kepupusan burung hereng memberi kesan kepada populasi manusia seperti yang dilihat di India dan Bangladesh.

Kawasan-kawasan penternakan yang tidak mempunyai kaedah pelupusan bangkai haiwan mati dengan baik akan terjejas dengan ketiadaan burung hereng.

Selain itu, ia turut menyumbang kepada peningkatan kes rabies yang disebabkan oleh anjing liar memakan bangkai yang dijangkiti dan menyebarkan penyakit berkenaan.

Oleh itu, beberapa negara seperti Bangladesh telah memperkenalkan polisi khas melindungi burung hereng di negara tersebut.

Bangladesh misalnya telah mewujudkan zon selamat untuk spesies ini dan stesen pemakanan berasaskan komuniti. Hasilnya, penurunan populasi burung hereng tempatan berjaya dihentikan.

Namun begitu, burung hereng sentiasa berdepan dengan pelbagai ancaman dari semasa ke semasa yang tentunya meletakkan spesies burung tersebut dalam bahaya.

BACA: Seorang Maut, Empat Cedera Dalam Kejadian Tembak Di Morib

Sumber: National Geographic

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.