Petronas Menganjurkan Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baru Cina Dan Pratonton Filem Web Festival
KUALA LUMPUR, 22 Januari 2025 – PETRONAS hari ini telah menganjurkan majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina bersama rakan-rakan media, sebuah tradisi yang telah lama dipraktikkan bagi mengukuhkan kerjasama dan hubungan baik.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abd Latif, menekankan kepentingan sesi perhubungan ini sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan usaha media selama ini.
“Majlis hari ini bukan sekadar satu acara, tetapi adalah platform untuk kami menyampaikan rasa terima kasih di atas hubungan yang telah terjalin. Komitmen anda dalam menyampaikan gambaran yang tepat dan bermakna tentang usaha kami sangat penting dalam perjalanan PETRONAS setakat ini,” katanya dalam ucapan beliau.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah wakil-wakil dari PETRONAS Dagangan Berhad, PETRONAS Chemicals Group Berhad, PETRONAS Gas Berhad, dan Gentari.
Acara ini turut menyaksikan pratonton filem web Tahun Baru Cina PETRONAS yang bertajuk ‘Stay’, iaitu siri pertama di bawah tema Beyond Those Doors. Filem ini berkisarkan kisah mengharukan Xiao Bao, seorang kanak-kanak yang selepas melawat saudara-maranya sempena Tahun Baru Cina, akhirnya tinggal bersama mereka selepas sambutan berakhir apabila mereka menerima Xiao Bao sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.
Kisah ini memaparkan pengorbanan ibunya yang meninggalkan Xiao Bao bersama saudara-mara demi memberikannya kehidupan yang lebih baik. Namun, Xiao Bao yang masih kecil tidak memahami keputusan tersebut dan merayu supaya ibunya kekal bersamanya. Bertahun-tahun kemudian, barulah Xiao Bao memahami pengorbanan ibunya.
Selain pratonton filem web, PETRONAS juga menyemarakkan semangat perayaan dengan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan menerusi inisiatif Uplifting Lives Festive (ULF) Yayasan PETRONAS. Di bawah program ini, sebanyak 2,100 keluarga di 15 negeri di Malaysia akan menerima pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas dan biskut istimewa yang disediakan oleh usahawan Program MEKAR.
Sumbangan ini diserahkan kepada rakan program iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur semasa majlis berlangsung.
“Tahun Baru Cina adalah masa untuk meraikan, berkumpul, dan menyebarkan kebaikan. Menerusi program Uplifting Lives Festive, kami berusaha untuk meringankan beban komuniti di seluruh Malaysia. Program ini mencerminkan komitmen kami dalam berkongsi kegembiraan dengan mereka yang menyambut perayaan dan membawa perubahan bermakna kepada kehidupan mereka yang memerlukan,” tambah Siti Azlina.
Program Uplifting Lives Festive adalah sebahagian daripada usaha Yayasan PETRONAS dalam menyokong kesejahteraan dan pembangunan komuniti di seluruh negara, dengan kerjasama JKM dan pejabat serantau PETRONAS.