Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Polis Temukan Tulang Dipercayai Milik Manusia Di Pantai Batu Buruk 2

Athirah
Polis Temukan Tulang Manusia
Kredit: Bernama

Polis Temukan Tulang Dipercayai Milik Manusia Di Pantai Batu Buruk 2

KUALA TERENGGANU, 31 Jan (Bernama) — Polis menemukan serpihan tulang dipercayai milik manusia di Pantai Batu Buruk 2, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata tulang tersebut ditemukan orang awam di kawasan semak di belakang kuarters jabatan kerajaan yang tidak dihuni.

Beliau berkata sebanyak 34 ketulan tulang ditemukan dan dikumpul untuk dihantar ke Unit Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Jabatan Kimia Malaysia Terengganu bagi tindakan lanjut.

“Polis menerima laporan pada 10.10 malam tadi. Siasatan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Terengganu dijalankan dengan bantuan pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.

“Pasukan tersebut telah mengumpul 34 ketulan tulang di kawasan semak, di tepi longkang tidak berair berjarak 40 meter dengan gigi air ketika air pasang malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata ketika ini risikan lanjut sedang dilaksanakan bagi mengesan sama ada lokasi tersebut merupakan kawasan perkuburan lama atau persendirian.

Beliau berkata usaha mengesan mangsa atau pemilik tulang berkenaan juga bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia termasuk jantina, tempoh kematian dan maklumat lain yang akan diperoleh kemudian.

Sehubungan itu beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan tersebut. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

BACA: Kotak Hitam Masih Belum Ditemukan, Penyiasat Masih Meneliti Perlanggaran Udara Di AS

Sumber: Bernama