Insiden Tembak Warga Indonesia: Anggota Maritim Malaysia Direhatkan
Insiden tembakan membabitkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada 24 Januari lalu kini dalam siasatan Bukit Aman.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil alih siasatan tersebut susulan pemeriksaan dalaman terhadap anggota terlibat.
Menurut beliau, selepas pertemuan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mereka bersetuju supaya anggota yang disiasat direhatkan sepanjang proses siasatan.
“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat. Buat masa ini, siasatan pihak polis ke atas Maritim Malaysia… dan saya baru saja mengadakan pertemuan tadi dengan Tan Sri Razarudin dan Datuk Hussein.
“Mereka bersetuju bahawa ketika siasatan oleh pihak polis… anggota yang terlibat (dalam siasatan) akan direhatkan dan siasatan kini bukan dibawah Ibu Pejabat Polis Daerah Banting tapi diambil alih ibu pejabat (Bukit Aman).
“Ini memandangkan ada potensi untuk siasatan dibuka kepada seksyen yang lebih serius,” kata beliau dalam sidang media pada Isnin.
BACA: Malaysia, Thailand Komited Perkukuh Hubungan, Teroka Kerjasama Baharu Dalam Pertahanan
Terdahulu, Datuk Hussein melaporkan dua suspek dipercayai warga asing berada di atas sebuah bot, didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang.
Insiden berlaku kira-kira jam 3 pagi, selepas suspek didakwa merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.
Sebagai langkah mempertahankan diri, anggota Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek.
Walau bagaimanapun, suspek melarikan diri dalam kegelapan malam.
Pada jam 9 pagi hari yang sama, Maritim Malaysia menerima laporan daripada orang awam mengenai sebuah bot yang hanyut di kawasan pantai Banting.
Pemeriksaan mendapati dua lelaki berada dalam bot tersebut, dengan seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, seorang lagi cedera parah dan segera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.
Selain itu, Datuk Hussein turut mengesahkan bahawa pihak polis menerima laporan mengenai tiga lelaki, disyaki warga asing, yang mengalami kecederaan tembakan.
Mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
BACA: Cadangan Caruman KWSP Pekerja Asing Kekal Sehingga Kajian Lanjut – Sim
BACA: Penjelasan PM Berhubung Kenaikan Tarif Elektrik
Sumber: Astro Awani