Siakap Keli
selamat datang ke sekolah 2025

FGV Taja RM2.25 Juta Untuk 15,000 Pelajar Melalui Program “Selamat Datang ke Sekolah 2025”

FGV Taja RM2.25 Juta Untuk 15,000 Pelajar Melalui Program “Selamat Datang ke Sekolah 2025”

GUA MUSANG, 6 Febuari 2025 – FGV Holdings Berhad (FGV) sekali lagi menzahirkan  komitmennya terhadap pembangunan komuniti dengan menaja RM2.25 juta untuk program  “Selamat Datang ke Sekolah 2025” anjuran bersama Yayasan Felda untuk manfaat seluruh warga komuniti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).  

Program bantuan komuniti ini dijalankan dengan tujuan untuk meringankan beban kewangan  ibu-bapa kepada pelajar-pelajar Tahun 1 dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak  mereka. Program “Selamat Datang ke Sekolah 2025” ini telah dirasmikan di FELDA Perasu,  Gua Musang oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA serta Encik Fakhrunniam  Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV.  

Majlis turut diserikan oleh kehadiran YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ahli Dewan  Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri dan YB Mohd Syahbuddin Hashim, Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Galas beserta pengurusan kanan FELDA, FGV serta wakil komuniti setempat.  

Tajaan berjumlah RM2.25 juta oleh FGV itu akan disalurkan kepada 15,000 pelajar Tahun 1,  anak-anak peneroka FELDA di seluruh negara, dengan persiapan barangan persekolahan seperti sepersalinan pakaian seragm sekolah, set alat tulis, beg sekolah, stokin dan kasut  sekolah bagi memulakan tahun akademik 2025.  

selamat datang ke sekolah 2025

Program “Selamat Datang Ke Sekolah 2025” ini bermula dengan penyerahan sumbangan  kepada 555 pelajar Tahun 1 wilayah Gua Musang di majlis pelancaran hari ini. Penyerahan  sumbangan program ke wilayah-wilayah lain seperti Terengganu, Trolak, Jengka, Mempaga,  Raja Alias, Kuantan, Segamat, Johor Bahru, Sahabat, serta Alor Setar akan diadakan secara  berfasa dan dijangkakan selesai pada 15 Februari 2025 dengan kerjasama wakil komuniti  setempat.  

Penglibatan FGV dalam program ini merupakan tahun kedua berturut-turut syarikat itu,  selepas kejayaan program sama tahun lalu dengan jumlah tajaan sebanyak RM2.17 juta yang  telah memanfaatkan seramai 14,500 pelajar di seluruh negara. 

“Sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin dan bertanggungjawab, FGV sedar betapa  pentingnya pendidikan dalam membentuk masa depan anak bangsa, khususnya mereka yang  tinggal di luar bandar. Melalui kerjasama dengan FELDA, kami mengambil langkah proaktif dalam memastikan anak-anak ini dapat memulakan perjalanan pendidikan mereka dengan  penuh persediaan, dilengkapi dengan barangan keperluan persekolahan yang mencukupi,”  ujar Fakhrunniam Othman. 

selamat datang ke sekolah 2025

Selain program ini, FGV turut menyalurkan bantuan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial  korporat (CSR) di bawah program “FGV Seikhlas Hati”. Bagi tahun 2024, FGV telah  memperuntukkan kira-kira RM10.3 juta untuk inisiatif CSR yang memfokuskan kepada  pembasmian kemiskinan di kawasan bandar dan luar bandar serta menangani isu keciciran  pendidikan.

Antara program yang dilaksanakan termasuk sumbangan kepada masjid dan sekolah melalui  kerjasama dengan majlis agama serta pusat zakat negeri. Bagi inisiatif pendidikan pula, FGV  bekerjasama dengan Yayasan Didik Negara untuk mengedarkan buku teks digital, selain  berkolaborasi dengan Yayasan FELDA dalam menawarkan kursus digital dan vokasional  kepada pelajar lepasan SPM. 

selamat datang ke sekolah 2025

“Program bantuan seperti ini merupakan antara instrumen penting untuk merapatkan jurang  ekonomi dan memupuk pembangunan sosial masyarakat, selari dengan Rangka Kerja  Kelestarian FGV. Kami di FGV memahami cabaran yang dihadapi golongan yang memerlukan,  dan kami tekad untuk berkongsi rezeki kami dengan mereka, terutama untuk komuniti  peneroka FELDA serta komuniti di kawasan berhampiran operasi kami,” tambah  Fakhrunniam lagi. 

Program ‘Selamat Datang ke Sekolah 2025’ ini juga turut memperkukuhkan lagi hubungan  FGV dengan FELDA serta terus menyokong usaha bagi meningkatkan taraf ekonomi pekebun pekebun kecil industri sawit tempatan. Pekebun-pekebun kecil ini merupakan teras dalam  ekosistem operasi FGV, di mana sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan buah tandan  segar (BTS) FGV adalah hasil daripada pekebun-pekebun kecil. 

Dengan kehadiran yang meluas dan portfolio yang pelbagai, FGV komited untuk memberikan  nilai kepada para pemegang saham melalui amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan  lestari. FGV juga memberi penekanan kepada penglibatan komuniti, sokongan kepada pekebun kecil, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.