Siakap Keli
tunku abdul rahman anwar
Kredit: Anwar Ibrahim

Anwar Imbau Nilai Integriti & Keadilan Tunku Abdul Rahman

Anwar Imbau Nilai Integriti & Keadilan Tunku Abdul Rahman, Jadi Panduan Kemudi Kerajaan

Bersempena hari ulang tahun keputeraan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kembali sejarah yang diukir Bapa Kemerdekaan.

Menerusi muat naik di laman Facebook, Anwar menyifatkan Tunku sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum. Malah menjadikan ia satu identiti nasional yang harmoni.

“Keghairahan Almarhum Tunku dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni harus terus menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama dalam menghadapi cabaran masa kini,” kata beliau.

Anwar berkata, beliau berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diwariskan Almarhum iaitu perpaduan, integriti dan keadilan buat semua. Malah, beliau turut bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua.

“Sumbangan Almarhum Tunku pastinya akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai-nilai perpaduan dan keamanan yang telah membentuk kesatuan negara kita,” ujarnya.

Menerusi muat naik tersebut, beliau turut berharap legasi yang diwujudkan oleh Almarhum dapat terus dijadikan panduan dalam usaha membina negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Beliau turut memanjatkan doa kesejahteraan buat Almarhum Tunku Abdul Rahman dan dilimpahkan ganjaran ihsan Allah SWT.

Dalam masa sama, beliau juga turut berkongsi gambar kenangan dengan Almarhum Tunku dan mendapat perhatian ramai.

https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial/posts/pfbid02hsuue2GijHYGomP4La8YeoBpXeMEGNKPSuPJvA6koGncsDD9hEoV97UdfPDekCTJl

Almarhum Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini merupakan putera ketujuh Sultan Kedah yang ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Che Manjalara. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Debsurin, Bangkol dan Penang Free School, beliau ditaja biasiswa Kerajaan Kedah bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Pada tahun 1925, beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda (BA) dalam bidang undang-undang dan sejarah dari St Catherine’s College, Cambridge University. Bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Great Britain di England, beliau meneruskan usaha menegakkan kesaksamaan dan membakar keinginan memerdekakan Tanah Melayu. Dengan menyertai Perkhidmatan Awam Kedah. Beliau memulakan langkah dengan menjadi kadet di Pejabat Penasihat Undang-undang sebelum dilantik sebagai pegawai daerah.

Almarhum kemudiannya melanjutkan pelajaran di Inner Temple, London namun terpaksa pulang ke Tanah Melayu apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua. Setelah lapan tahun berlalu, Almarhum kembali melanjutkan pelajarannya dan pulang sebagai barrister pada 1949. Kepulangan Almarhum disambut dengan pemilihan beliau sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Itulah dia serba sedikit latar sejarah kehidupan Almarhum Tunku yang tidak pernah putus dari menjalin perpaduan bagi kesejahteraan negara.

BACA: Datuk Saya Yang Isytihar Kemerdekaan 1957 – Tengku Zafrul

Sumber: Anwar Ibrahim, Yayasan Kepimpinan Perdana

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.