Pos Malaysia Lancar Pos Shop Pertama Di Kota Kinabalu, Mengembangkan Konsep Runcit
KOTA KINABALU, 7 Februari 2025 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, pada hari ini telah melancarkan Pos Shop terbaharunya di Kota Kinabalu, menandakan perkembangan konsep runcit inovatifnya ke Malaysia Timur dan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasinya.
Majlis perasmian ini disempurnakan oleh YB Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah.
Terletak di lokasi strategik di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu, Jalan Segama, cawangan pertama Pos Shop di Malaysia Timur ini menegaskan komitmen Pos Malaysia dalam memodenkan perkhidmatan mereka serta berkembang selaras dengan keperluan dan kehendak pengguna.
Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, meluahkan keterujaannya: “Menyusuli kejayaan Pos Shop di Semenanjung Malaysia, kami sangat gembira untuk membawa konsep ini ke Kota Kinabalu. Cawangan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi pertama kami di Malaysia Timur, tetapi juga di Sabah, Negeri di Bawah Bayu. Ini adalah satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen Pos Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan kami dengan rakyat Sabah, mempertingkatkan cara kami berkhidmat dan memastikan kami kekal relevan. Namun ini baru permulaan. Kami percaya Pos Shop Kota Kinabalu akan menjadi pemangkin dalam merevolusikan pengalaman runcit untuk komuniti di Sabah.
“YB Datuk Phoong memuji Pos Malaysia atas inisiatif yang berpandangan jauh, sambil menambah: “Pos Shop adalah konsep transformatif yang menggabungkan peruncitan moden dengan kebolehpercayaan perkhidmatan pos tradisional. Dengan transformasi pejabat pos sebagai ruang serba guna yang berfokuskan pelanggan, Pos Malaysia meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan untuk semua rakyat Malaysia. Apa yang paling
menonjol adalah sokongan syarikat terhadap usahawan tempatan dengan memaparkan pilihan produk yang diperoleh daripada perusahaan kecil dan sederhana di Pos Shop, menyumbang kepada ekonomi tempatan sambil memenuhi keperluan komuniti.”
Dengan keluasan lebih 2,200 kaki persegi, Pos Shop Kota Kinabalu menggabungkan pejabat pos yang beroperasi dengan ruang runcit yang selesa dan mesra. Ia menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, tambah nilai telefon bimbit dan e-wallet, serta pelbagai keperluan harian.
Cawangan ini juga menampilkan Pos Kafe yang popular, di mana pelanggan boleh menikmati kopi segar dan snek ’sedia dimakan’. Konsep inovatif ‘kedai dalam kedai’ ini memberi nafas baru kepada pejabat pos tradisional dan mencipta persekitaran runcit moden dan menarik di mana pelanggan boleh menyelesaikan urusan, berehat, dan membeli-belah – semuanya di satu lokasi yang mudah.
Pos Shop yang pertama dibuka di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, pada bulan Mei 2023. Sejak itu, Pos Shop telah berkembang dengan pesat di seluruh Malaysia. Baru baru ini, Pos Malaysia meraikan pelancaran Pos Shop ke-50 di Pulau Pinang, mencapai satu pencapaian penting dalam peluasan runcit di seluruh negara. Secara keseluruhannya, Pos Shop telah menerima lebih 630,000 pelanggan, menjual 80,000 botol air, 140,000 roti, 52,000 sajian aiskrim lembut, 153,000 biji pau, 43,000 pek nasi lemak, dan pelbagai lagi barangan yang dipilih dengan teliti.
Beberapa produk seperti pau dan nasi lemak dihasilkan oleh PKS tempatan, mencerminkan komitmen Pos Malaysia dalam menyokong perniagaan tempatan sambil menyediakan pengalaman runcit yang pelbagai dan mudah untuk rakyat Malaysia.
Bersempena dengan Tahun Baru Cina, Pos Shop telah memperkenalkan menu perayaan baharu yang menampilkan minuman ‘Tangerine Sunshine’ yang menyegarkan serta pelbagai hidangan lazat. Sebagai sebahagian daripada kempen ‘Promo Paling Ong’, pelanggan boleh menikmati harga promosi istimewa untuk barangan baharu ini, bersama dengan tawaran menarik lain, di semua 50 cawangan Pos Shop di seluruh negara sehingga 28 Februari.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal berpegang pada tujuan kami – untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang lebih baik,” tambah Brewer. “Kami akan terus berinovasi untuk mempertingkatkan perkhidmatan kami dan memberikan pengalaman yang menggembirakan kepada setiap individu yang berinteraksi dengan Pos Malaysia.”
Kekal terhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, Tik Tok, YouTube, dan LinkedIn.