“Gigi Tajam Sangat” Gadis Kongsi Detik Cemas Digigit Ular Sawa Ketika Buang Air
Setiap dari kita mempunyai ketakutan atau trauma yang tersendiri. Kadang kala boleh jadi juga ketakutan yang dihadapi itu adalah sama dalam komuniti atau masyarakat.
Seperti kemunculan ‘sesuatu’ dari dalam lubang tandas. Ketakutan ini pastinya pernah dirasai oleh sesiapa sahaja terutama apabila berada di kawasan perumahan yang berada berhampiran hutan atau semak samun.
Namun, apa yang merisaukan adalah apabila banyak kejadian ular yang keluar dari lubang tandas di kawasan perumahan bandar. Lebih menakutkan apabila kita tidak sedar dengan kehadiran ular tersebut ketika sedang ‘melepaskan hajat’.
Itulah yang dialami oleh seorang gadis baru-baru ini apabila digigit ular sawa ketika sedang membuang air.
Berkongsi kejadian itu di laman X, Bella turut memuat naik gambar yang menunjukkan keadaan tangannya yang luka dan berdarah selepas bergelut dengan ular itu.
“Saya tengah buang air besar dalam jamban duduk. Rumah taman ya bukan rumah dekat kampung. Lepas dah siap buang air, saya masih duduk sebab perut masih lagi rasa sakit.
“Tiba-tiba saya rasa macam ada sesuatu gigit paha saya, rasanya lebih tajam dari pisau cukur dan ada banyak gigi.
“Dia gigit itu betul-betul kuat, macam benamkan gigi,” katanya.
Selepas itu, Bella memberanikan diri memegang mulut ular tersebut dan berlaku sedikit pergelutan sehingga menyebabkan jarinya terluka.

“Dahlah tajam, mulut dia banyak gigi, sebab itulah jari-jari saya pun banyak luka sampai lebam dan biru.
“Mula-mula saya tak sedar itu adalah seekor ular sawa yang besar sehinggalah ia berhenti menggigit paha dan jari saya. Ular itu datang daripada dalam lubang jamban,” ujarnya.
Sampai basah lantai tandas dengan darah
Kongsi Bella lagi, dia menjerit untuk meminta pertolongan dan selepas itu dibantu oleh bapanya untuk keluar daripada tandas itu. Lantai di dalam tandas tersebut juga sudah basah dipenuhi oleh darah akibat gigitan ular terbabit.
Sebelum keluar daripada tandas itu, Bella juga sempat berpaling semula ke dalam lubang tandas dan melihat ular itu yang sangat besar.
BACA: Ular 3 Meter ‘Tersangkut’ Dalam Mangkuk Tandas
“Mungkin panjangnya sekitar 1 meter atau lebih panjang lagi. Selepas itu, ia masuk balik ke dalam lubang jamban, tak sempat tangkap,” katanya.
Ketika dihubungi SK, Bella berkata dia masih lagi tidak dapat berjalan seperti biasa kerana keadaan pahanya yang masih lagi berdarah.
“Isi paha ada terobek sikit sebab gigi dia dah cengkam sampai dalam dan saya rentap ularnya, saya pegang dekat mulut dan tarik,” katanya.
Perkongsiannya itu telah menjadi tular dan setakat ini mendapat sebanyak 13,000 ulang siar dan 29,000 tanda suka. Ia juga turut mendapat perhatian netizen dari Indonesia.
https://x.com/lovinghansoll/status/1890390352974213250
Sumber: lovinghansoll