Jepun Benarkan Saintis Lakukan Kajian Kacukan Manusia-Haiwan
Jepun kini membenarkan saintis mencipta embrio kacukan manusia-haiwan dalam usaha membiakkan organ manusia di dalam tubuh haiwan.
Langkah ini dipercayai bertujuan mengatasi kekurangan organ penderma yang semakin kritikal di seluruh dunia.
Difahamkan, ia sekali gus memberikan harapan baharu kepada ribuan pesakit yang memerlukan organ untuk terus hidup.
Kajian dipimpin pakar sel stem Jepun
Kelulusan ini diberikan kerajaan Jepun berdasarkan cadangan Dr. Hiromitsu Nakauchi, pakar sel stem yang mengetuai pasukan penyelidik di Universiti Tokyo dan Universiti Stanford.
Kajian ini melibatkan penyuntikan sel stem pluripoten teraruh manusia (iPSCs) ke dalam embrio haiwan yang telah diubah suai secara genetik.
Embrio tersebut kemudian akan ditanam dalam haiwan perumah bagi membolehkan pertumbuhan organ manusia seperti pankreas dan buah pinggang.
Dari segi perubatan, penyelidikan ini berpotensi merevolusikan bidang pemindahan organ dengan mengurangkan kebergantungan terhadap penderma manusia.
Jika berjaya, kaedah ini dipercayai mampu meningkatkan kadar kejayaan pemindahan organ secara mendadak.
Isu etika dalam penyelidikan
Walaupun kajian ini menjanjikan harapan baharu, ia turut menimbulkan perdebatan etika.
Salah satu kebimbangan utama ialah kemungkinan berlakunya gabungan sel manusia dengan otak haiwan, yang berpotensi mengubah tingkah laku haiwan tersebut.
Bagi mengelakkan risiko ini, Jepun menetapkan garis panduan ketat dalam eksperimen ini.
Antaranya, jika lebih 30 peratus sel manusia dikesan dalam otak haiwan, eksperimen tersebut mesti dihentikan serta-merta.
Langkah ini diambil dipercayai untuk menghalang kemungkinan haiwan tersebut mengembangkan kesedaran seperti manusia.
BACA: ‘Unik’, Beauty Standard Wanita Mauritania Curi Tumpuan
BACA: Sebab Cincin Kahwin Pakai Di Jari Manis
BACA: Spesies Katak Baharu Dinamakan Sempena Leonardo DiCaprio
Sumber: Spirit Science Central, Independent, Science Alert