Aveta Memperkenalkan Model Skuter Terbaru Nova 125 Dan Nova 160
Klang, Selangor, 18 Februari 2025 – Aveta Malaysia terus memacu perubahan dalam segmen skuter dengan pelancaran siri skuter Nova yang serba baru. Direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan penunggang di Malaysia, skuter siri Nova yang menggabungkan gaya, prestasi, dan elemen praktikal ini berjaya memenuhi piawaian baru dalam segmen pengangkutan bandar.
“Di Aveta, kami komited dalam mengeluarkan motosikal yang berkualiti tinggi dan dipercayai rakyat Malaysia tanpa mengabaikan aspek prestasi,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia. “Nova 125 dan Nova 160 mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan motosikal yang mampu milik namun masih menawarkan ciri-ciri premium untuk pengalaman tunggangan yang lancar setiap hari.”
Salah satu ciri yang menonjol dan berbeza bagi Nova 125 adalah kapasiti tangki bahan api 6 liter, manakala varian Nova 160 mempunyai kapasiti 10 liter – antara yang terbesar dalam kategori masing-masing. Ini memberikan peluang kepada peminat motosikal untuk menikmati tunggangan perjalanan yang lebih jauh tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak, sama ada untuk perjalanan harian atau hujung minggu.
Nova 125 direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna, bermula dari pelajar yang mencari motosikal mampu milik dan senang dikendalikan, sehingga kepada penunggang yang lebih berusia yang mengutamakan keselesaan. Ia juga sesuai digunakan oleh penunggang wanita kerana ketinggian tempat duduk serendah 765mm memberikan keselesaan tambahan.
Dilengkapi dengan teknologi EFI (Electronic Fuel Injection), Nova 125 memberikan prestasi enjin yang lebih optimum dan penggunaan bahan api yang lebih jimat, menjadikannya pilihan terbaik untuk perjalanan harian. Dengan pilihan warna trendy seperti Peach Berry, Grey Lemon, dan Blue Lemon, pasti ada sesuatu untuk semua orang. Dengan harga serendah RM5,188, skuter ini menjanjikan pilihan yang sempurna buat peminat motosikal yang mahukan skuter mampu milik, ringan dan praktikal.
Sementara itu, Nova 160 menyasarkan golongan profesional kelas pertengahan yang mencari skuter bergaya yang berprestasi tinggi untuk kegunaan dalam bandar. Dilengkapi dengan ciri-ciri seperti lampu LED penuh, Sistem Berhenti Idling (ISS), dan brek cakera, model ini sesuai untuk mereka yang mencari skuter berkuasa namun sporty untuk kegunaan harian. Tersedia dalam warna Raven Red, Aveta Blue, dan Copper Blaze, ia dijual pada harga RM7,988, menawarkan pengalaman menunggang yang premium namun pada harga yang mampu milik.
Kedua-dua model ini menampilkan reka bentuk yang lincah dan kompak, membolehkan penunggang mengendalikan skuter dengan mudah dalam keadaan trafik sesak, malah menawarkan keseimbangan antara kepraktisan dan keselesaan.
Aveta tidak berkompromi dalam aspek sokongan selepas jualan dan kepuasan pelanggan. Dengan rangkaian pengedar, pusat servis, dan stokis yang semakin berkembang di seluruh negara, ditambah dengan kejayaan program perkhidmatan Aveta Care on Wheels yang menyediakan servis dari pintu ke pintu, pemilik Nova dapat menikmati pengalaman pemilikan yang lebih yakin tanpa sebarang keraguan.
Sebagai gambaran awal, Aveta juga memberi petunjuk mengenai model baru siri Nova yang berkapasiti lebih tinggi yang akan dilancarkan pada tahun ini, sekali gus mengukuhkan komitmen jenama Aveta untuk terus berinovasi dan memenuhi kehendak penunggang Malaysia yang sentiasa berkembang.
Siri Nova bukan sekadar barisan skuter – ia adalah bukti misi Aveta untuk menyediakan varian motosikal yang lebih bergaya, praktikal, dan berprestasi tinggi untuk semua lapisan rakyat Malaysia. Dengan gabungan teknologi terkini, harga yang mampu milik, dan reka bentuk yang moden, tidak mustahil skuter Nova akan mendapat sambutan yang hangat dan menjadi pilihan utama pengguna.
Kedua-dua model Nova 125 dan Nova 160 akan tersedia di pasaran Malaysia bermula Mac 2025. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web kami di www.aveta.com.my.