Lelaki OKU Penglihatan Maut Terjatuh Di Landasan LRT Stesen Titiwangsa
Seorang lelaki OKU penglihatan maut selepas terjatuh di Landasan LRT Stesen Titiwangsa pada pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.38 pagi mengenai penemuan mayat di bawah rel kereta api.
“Menurut Komander Operasi PBK I KUP Fadil Hesam bin Mohd melaporkan bahawa seorang mangsa lelaki berbangsa Cina, yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), telah ditemui berada di bawah landasan rel kereta api. Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa mangsa dipercayai merupakan OKU buta, dan berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel kereta api sebelum dilanggar oleh sebuah kereta api yang melintasi kawasan tersebut. Kejadian ini dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan mangsa yang terjatuh, tanpa disedari oleh pemandu keretapi,” kata kenyataan itu.
BACA: Hasil Jualan Hampir RM60k, Lelaki Kongsi Rahsia Untung Tanam Cili
Menurut jabatan itu lagi, proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa.
Ia bagi memastikan keselamatan dan proses penyiasatan yang lancar. Semua tindakan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi sepanjang operasi ini berlangsung.
“Pihak berkuasa kini sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Siasatan juga akan melibatkan pemeriksaan rekod operasi keretapi pada waktu kejadian,” ujarnya lagi.
Terbaru, pihak Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa perkhidmatan tren di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur telah kembali normal pada jam 11 pagi tadi.
“Berikutan itu, perkhidmatan bas perantara telah ditamatkan dan perkhidmatan tren kini beroperasi seperti biasa,” maklum syarikat tersebut dalam satu kenyataan berasingan di laman X.
BACA: Arab Saudi Larang Siaran Langsung, Rakaman Di Dalam Masjid Sepanjang Ramadan
BACA: Jejantas Tun Teja Ikon Terbaharu Melaka, Lonjak Ekonomi Setempat
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Via Bernama, AskRapid (1) (2)