Siakap Keli
kayu dram green day
Kredit: Shiltok Lady/Greg Schneider

Wanita Bertuah Dapat Kayu Dram Di Konsert Green Day

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bertuah, Wanita Dapat Kayu Dram Dari Tre Cool Di Konsert Green Day

Beberapa hari yang lalu, kumpulan rock Amerika Syarikat, Green Day telah mengadakan konsert sulung mereka di Stadium Hoki Nasional, Kuala Lumpur. Kehadiran para peminat yang memenuhi ruang stadium begitu memberangsangkan.

Di kala para peminat teruja menyaksikan persembahan idola mereka secara langsung, satu kenangan terindah tercipta buat salah seorang daripada ribuan peminat yang hadir.

Pencipta kandungan dengan 1.56 juta pengikut di YouTube yang juga peminat tegar Green Day, Yana Azlee atau lebih dikenali sebagai Shiltok Lady, hadir ke konsert berkenaan dengan penuh harapan. Berdiri di barisan paling hadapan bersama rakan-rakan, Yana membawa sebuah hasrat yang terpendam.

“Beri saya peluang mainkan Good Riddance untuk ayah saya,” pinta Yana menerusi tulisan pada sehelai kain yang dibawa bersama.

Tanpa diduga, sesuatu berlaku. Memori terindah bakal tercipta untuk Yana.

“Ayah saya meninggal dunia ketika saya berusia 16 tahun. Ayah sentiasa berikan sokongan kepada saya dalam bidang muzik,” katanya.

Menurutnya, ahli kumpulan pertama yang menyedari tulisan pada kain yang dipegang Yana merupakan pemain dram Green Day, Tre Cool.

“Bila dia nampak solekan saya, ini reaksi dia. Lepas tu dia ternampak kain ni dan boleh nampak jelas dia cuba untuk baca tulisan ni sambil bermain dram,” tambah Yana lagi.

Apabila Tre berjaya membaca permintaan Yana, dia memberi isyarat kepada Yana untuk bersedia. Tre cuba untuk mendapatkan perhatian daripada Mike namun menurut Yana, ketika itu Mike sedang melihat ke arah rakan wanita tersebut.

Menyedari perhatian yang diterima daripada Mike, rakannya menyuruh Yana kibarkan kain tersebut bagi mendapatkan perhatian Mike. Umpama rembulan jatuh ke riba, Yana berjaya mendapat perhatian Mike. Mike turut berikan isyarat kepada Yana untuk bersedia.

“Mike cuba untuk dapatkan perhatian Billy tetapi dia tak perasan sebab Billy sedang memakai alat in-ear monitor. Saya tak salahkan dia sebab pentas tu sangat luas. Tiba-tiba pengurus pentas datang dan beritahu saya untuk bersedia. Saya rasa macam tak percaya,” kongsi wanita berkenaan.

Ketika pengawal keselamatan dan Yana bersedia untuk naik ke pentas, segalanya sudah terlambat. Billy mula menyanyikan lagu seterusnya. Menurut Yana, biarpun hasratnya untuk mainkan lagu di atas pentas tidak tercapai, perhatian yang diterima daripada mereka sudah memadai.

“Tetapi apa yang mengejutkan ialah pengurus pentas tu datang semula dengan membawa drumstick ni. Dia pegang tangan saya dan buat macam ni, kemudian tutup tangan saya. Dia cakap, ‘Ini untuk awak, Tre Cool nak awak simpan kayu ni’,” ujar Yana.

Tambahnya lagi, ketika melihat ke arah khemah, kedua-dua ahli kumpulan Green Day sedang memandang ke arahnya untuk memastikan wanita tersebut terima kayu drum pemberian Tre. Bukan itu sahaja, Yana turut menerima pemetik gitar daripada Mike.

Menurutnya ketika ditemubual SK, hanya mereka berdua yang berada di khemah ketika itu berikutan Billy sibuk membuat persembahan di atas pentas.

Dengan suara yang sebak dan air mata yang bergenang, Yana memberikan ucapan buat ahli-ahli kumpulan rock itu.

“Tre Cool dan Mike Dirnt, jika anda tonton video ini, saya ingin ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan selama-lamanya berterima kasih untuk memori ni,” ucapnya penuh sebak.

https://www.instagram.com/reel/DGSeyXfBCdY/?utm_source=ig_web_copy_link

Sumber: Instagram @shiltoklady

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.