Jabatan Muzium Malaysia Rancang 138 Program Sepanjang 2025 Beri Fokus Kepada Perpaduan, Budaya Warisan Dan Sejarah
KUALA LUMPUR, 25 Februari 2025 – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) hari ini melancarkan Kalendar Program 2025 yang menghimpunkan pelbagai program permuziuman yang memfokuskan perpaduan, budaya warisan dan sejarah sepanjang tahun 2025. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur.
Kalendar Program 2025 dirangka dengan teliti bagi merancakkan lagi landskap permuziuman negara serta memperkukuhkan peranan muzium dalam memberi khidmat pengembangan ilmu pengetahuan. Program-program yang dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan keterlibatan masyarakat menerusi aktiviti interaktif dan berinformasi. Antara program utama yang bakal berlangsung sepanjang tahun ini termasuklah pameran bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, bertaraf antarabangsa, Citra Nusa@Muzium, Festival Hari Muzium Antarabangsa, Fun@Muzium, seminar dan program muzium dan komuniti (outreach).
Sebanyak 138 program telah dirancang oleh Jabatan Muzium Malaysia dan 22 buah muzium di bawah pentadbirannya. Antara pecahan program yang akan dilaksanakan adalah lapan (8) program di bawah inisiatif Citra Nusa, lima (5) program FUN @Muzium, sembilan (9) buah pameran, 30 bicara/forum/seminar/persidangan, 45 program jangkauan dalam (inreach), 23 program muzium dan komuniti (outreach) dan 18 program di bawah Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM).
JMM akan mempertingkatkan usaha kolaboratif bersama rakan-rakan strategik dalam usaha memperluaskan capaian serta memastikan program-program berimpak tinggi yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada semua pihak yang terlibat. Pendekatan ini bertujuan untuk bukan sahaja menarik lebih ramai pengunjung ke muzium tetapi juga untuk memperkayakan pengalaman masyarakat melalui program-program yang relevan dan bermanfaat. Antara rakan-rakan potensi kolaboratif yang telah dikenal pasti oleh JMM bagi tahun 2025 termasuklah Yayasan MR. D.I.Y., Kopi Antong, Yayasan Al-Amin, Yayasan Hasanah, Chagee Malaysia, Casa Chemical dan MyTown.
Pelaksanaan program-program ini diharap dapat memperkukuh fungsi muzium sebagai pusat ilmu dan pemeliharaan warisan, selain menarik lebih ramai pengunjung ke muzium-muzium di seluruh negara. Jabatan Muzium Malaysia mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam pelbagai program yang telah dirancang sepanjang tahun 2025 bagi bersama-sama menghayati menghargai sejarah dan budaya negara di samping memupuk rasa perpaduan dalam kalangan masyarakat.