Siakap Keli
cip pengkomputan kuantum microsoft
Kredit: Microsoft

Microsoft Perkenal Cip Pengkomputeran Kuantum Pertama

Microsoft Perkenal Cip Pengkomputeran Kuantum Pertama

Washington – Microsoft memperkenalkan cip pengkomputeran kuantum (quantum computing) pertama syarikat tersebut pada Rabu, lapor CNBC.

Pengumuman tersebut dibuat selepas hampir 20 tahun syarikat konglomerat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu menjalankan penyelidikan dalam bidang berkenaan. Dakwa Microsoft, penghasilan cip Majorana 1 itu memerlukan pembangunan satu bentuk jirim baharu yang dipanggil keadaan topologi (topological state).

Cip tersebut mempunyai lapan bit kuantum (qubits) yang dihasilkan menggunakan semikonduktor indium arsenida bersama aluminium yang merupakan pengalir lampau (superconductor).

Pakar teknologi percaya bahawa komputer kuantum boleh menyelesaikan masalah dengan cekap suatu hari nanti. Ia merupakan sesuatu yang sangat sukar atau mustahil bagi komputer klasik.

Untuk pengetahuan, komputer pada masa kini menggunakan bit yang boleh berada dalam keadaan ‘hidup’ atau ‘mati’, manakala komputer kuantum menggunakan bit kuantum yang boleh berada dalam kedua-dua keadaan tersebut pada masa sama.

Menerusi pengumuman yang dimuat naik di laman blog syarikat berkenaan, Microsoft berkata cabaran terbesar yang dihadapi dalam menghasilkan cip ini merupakan partikel eksotik yang diperlukan tidak pernah dilihat atau dihasilkan sebelum ini.

“Tahap kesukaran dalam membangunkan bahan-bahan yang tepat bagi mencipta partikel eksotik ini bersama  keadaan topologi menyebabkan kebanyakan usaha kuantum bertumpu kepada jenis bit kuantum yang lain,” ujar syarikat.

Salah seorang juruteknik Microsoft, Krysta Svore berkata mereka perlu menyusun atom satu per satu supaya bahan tersebut berada dalam keadaan sejajar.

“Sebaliknya, perkara ini juga menjadi sebab kami memerlukan komputer kuantum, kerana untuk memahami bahan-bahan ini sememangnya amat sukar.

“Dengan adanya komputer kuantum berskala, kami dapat meramal bahan dengan sifat yang lebih baik untuk menghasilkan komputer kuantum generasi seterusnya yang menjangkaui skala,” jelasnya.

Microsoft berkata, penghasilan Majorana 1 dapat menyelesaikan masalah pencemaran yang berpunca daripada lambakan mikroplastik. Malah dapat menghasilkan produk swasembuh (self-healing products) bagi kegunaan sektor pembinaan, pengilangan mahupun kesihatan.

Memetik CNBC, Microsoft tidak akan membenarkan pelanggan menggunakan cip Majorana 1 melalui perkhidmatan awan Azure. Sebaliknya, Majorana 1 merupakan langkah menuju matlamat untuk membangunkan cip dengan satu juta bit kuantum, berdasarkan kajian fizik yang mendalam.

Felo teknikal Microsoft, Chetan Nayak berkata, jika dihimpunkan semua komputer yang ada di dunia masa kini, ia tidak dapat menandingi apa yang boleh dilakukan komputer kuantum dengan satu juta bit kuantum.

“Apa sahaja yang anda lakukan dalam bidang kuantum, anda perlu mempunyai cara untuk mencapai satu juta bit kuantum. Jika tidak, anda akan terhalang sebelum dapat menyelesaikan masalah besar yang sangat penting.

“Kami sebenarnya sudah merancang cara untuk mencapainya,” katanya.

BACA: Kenaikan Harga Santan Kelapa: KPDN Buka Tiga Kertas Siasatan, Keluarkan 47 Notis

Sumber: CNBC, Microsoft

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.