Penjual Daging Salai Selamat Jalani Pembedahan Implan Tempurung Kepala
Seorang penjual daging salai dilapor selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Selasa, lapor Astro Awani.
Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, mendapat perhatian apabila kisahnya yang menjual daging salai menjual daging salai untuk mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepala menjadi tular.
Ibu kepada Muhammad Sufi, Noraini Ishak, 71 tahun, berkata anaknya berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan yang bermula pada jam 8:30 pagi.
Bagaimanapun, beliau masih memerlukan penjagaan rapi di hospital selepas pembedahan selesai kira-kira jam 1 tengah hari.
Penjual daging salai selamat jalani pembedahan
“Doktor maklum pada mak cik sekiranya saluran darah di kepalanya nampak baik mungkin beberapa hari lagi anak mak cik akan dibenarkan keluar hospital, tapi sekarang ini memang dia perlu dijaga.
“Doktor juga nasihatkan dia tidak diganggu ketika ini, doktor juga bagi tahu tidak boleh tanya dia macam-macam atau temuramah dia lagi, takut ganggu proses penyembuhan dia,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Astro Awani.
Tambah Noraini, keadaan Muhammad Sufi agak sedikit terganggu menyebabkan dia menjadi gelisah dan bimbang selepas beritanya menjadi tular di media sosial.
“Sekarang ini saya jaga dia di wad tapi saya ada upah seorang penjaga untuk dia, selepas dia sedar dia cuba nak tarik tiub, sekarang ini doktor nasihatkan agar dia banyak berehat.
“Kalau diikutkan saya nak simpan dulu telefon sebab tak mahu dia berhubung dengan sesiapa, tapi saya rasa kesian, kita doakan dia cepat sembuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.
Ianya termasuk orang ramai yang membuat tempahan untuk membeli daging salai daripada anaknya.
Perdana Menteri telah menyumbang RM15,000 untuk dana pembedahan
Sebelum ini, Astro Awani melaporkan Muhammad Sufi yang merupakan seorang duda dan memiliki seorang anak telah memuat naik kandungan di aplikasi TikTok menjual daging salai untuk mencari dana.
Beliau turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 untuk menjalani pembedahan kelima bagi memasang implan tersebut.
Difahamkan, beliau pernah berada dalam koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepada selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah, dua tahun lalu.
Menurut Astro Awani, prosedur pembedahan memasang implan tempurung kepala Muhammad Sufi telah dipercepatkan dari tarikh asal iaitu 9 Mac.
Muhammad Sufi yang bertugas sebagai fisioterapi di HSB berkata, dia terpaksa menghentikan sementara perniagaannya kerana perlu memberi perhatian terhadap urusan rawatan dan perubatan.
BACA: Bulan Berada Pada Titik Paling Dekat Dengan Bumi 2 Mac Ini
Sumber: Astro Awani