McDonald’s Malaysia Perkuatkan Pembangunan Belia, Meterai Kerjasama Bersama UTHM
PETALING JAYA, 26 Februari 2025 – McDonald’s Malaysia memasuki satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam kerjasama pembangunan akademik dan kompetensi. MoU in dimeterai oleh Azhar Darbi, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, McDonald’s Malaysia dan Prof. Ts. Dr. Rabiah Binti Ahmad, Timbalan Naib Canselor, Jabatan Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UTHM dan disaksikan oleh Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan Puan Hajjah Melati Abdul Hai, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak, McDonald’s Malaysia.
Majlis tersebut diadakan di Hamburger U Malaysia, sebuah pusat latihan profesional McDonald’s Malaysia, pada 24 Februari lalu.
MoU ini akan melibatkan dua kursus utama dalam bidang penyediaan makanan iaitu Ijazah Sarjana Muda Industri Penyediaan Makanan dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyediaan Makanan dengan Kepujian, UTHM, dalam kolaborasi mengenai pembangunan akademik dan kompetensi. Antara intipati yang dimeterai merangkumi kerjasama:
- Penyediaan tempat latihan industri dan latihan dalam pekerjaan (On-Job Training) kepada pelajar lepasan ijazah sarjana muda di bawah Graduate Employability Program.
- Merangka dan melaksana program pendidikan berasaskan kerja atau work-based learning (WBL) semasa ijazah sarjana muda di McDonald’s. Mahasiswa yang dipilih menyertai WBL akan menerima tajaan biaya pendidikan oleh McDonald’s Malaysia.
- Kerjasama dalam kajian dan bahagian-bahagian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak
Pada masa ini, seramai 28 pelajar telah mendapat surat tawaran untuk menjalani program on-job training bersama McDonald’s dan dijangka akan memulakan latihan mereka pada Mac 2025.
Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, “McDonald’s Malaysia amat serius terhadap usaha pembangunan belia dan kerjasama bersama UTHM ini membolehkan kami untuk meluaskan jangkauan dalam pasaran bakat yang berkualiti. Ini membuktikan bahawa McDonald’s Malaysia mementingkan pembangunan masyarakat yang berimpak positif terhadap sebagai aspek utama. Syarikat kami lebih dari sebuah restoran, kami ingin lebih banyak tenaga kerja yang berkebolehan tinggi dan profesional dapat dilahirkan.”
Dalam pada itu, kerjasama ini turut menawarkan peluang kerjaya sebagai Pengurus Besar Restoran (RGM) sejurus tamat latihan kepada pelajar yang memenuhi kriteria. Inisiatif ini adalah penting untuk memberi motivasi kepada pelajar serta memastikan kelangsungan tenaga kerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.
“Usaha ini adalah untuk memastikan kemahiran mahasiswa dapat diasah seawal yang mungkin dan peluang untuk mendapatkan kerja dalam kalangan siswazah semakin meluas, selari dengan agenda negara dalam TVET agar kecemerlangan akademik dan kecemerlangan insaniah dapat dilonjak bersama,” tambah Dato’ Haji Azmir.