Tikus Jengah Padang Old Trafford, Buat Kemunculan Sebelum Perlawanan Man United
United Kingdom – Seekor tikus dirakam merentasi padang di Stadium Old Trafford sebelum perlawanan pasukan bola sepak Manchester United menentang Ipswich berlangsung semalam, lapor The Sun.
Tikus tersebut berjaya ditangkap dan dibawa keluar oleh salah seorang petugas. Kemunculan tikus di stadium berkenaan bukan kali pertama berlaku. Video yang memaparkan kehadiran tikus tersebut juga sempat dirakam oleh seorang peminat.
@emmareddevildiaries The mouse is back Man United vs Ipswich #manchesterunited #oldtrafford #unitedroad #manunited #manu
Sebelum ini, seorang peminat dikejutkan dengan kehadiran tikus di bawah kerusinya ketika menyaksikan pertembungan di antara Manchester United dan Southampton.
Malah pada tahun lalu, seekor bangkai tikus ditemui di dalam lopak air di bawah tempat duduk penonton.
Kejadian-kejadian ini didakwa berpunca daripada pemotongan bajet kawalan haiwan perosak di stadium tersebut. Masalah tikus ini juga dipercayai berpunca daripada kedudukan stadium Old Trafford yang berada di antara laluan kereta api dan terusan.
Selain kemunculan tikus-tikus ketika perlawanan berlangsung, sisa najis tikus turut didakwa dijumpai ketika pemeriksaan kebersihan dilakukan di gerai makanan dan suit mewah.
Disebabkan penemuan ini, tahap kebersihan stadium tersebut merudum kepada dua bintang pada penghujung tahun 2024 yang lalu.
Menurut jurucakap kelab tersebut, masalah ini sedang cuba diatasi pihak mereka bermula Disember lalu.
BACA: Manchester United Bakal ‘Terbang’ Ke Malaysia
“Manchester United sedang melaksanakan sistem kawalan haiwan perosak yang berkesan di seluruh Old Trafford.
“Pemeriksaan mingguan dibuat beberapa kali ke atas kawasan katering dan langkah yang ketat telah diambil bagi memastikan kebersihan di tahap yang tinggi. Ia meliputi semua tempat penyimpanan, penyediaan dan hidangan makanan.
“Sekiranya kejadian seperti ini berlaku di stadium, tindakan sewajarnya akan diambil dengan segera,” katanya.
Pasukan Khas Manchester United yang melibatkan Gary Neville, Andy Burnham dan Lord Sebastian Coe sedang berkira-kira untuk membina semula Old Trafford atau wujudkan stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk dengan nilai 2 bilion Pound.
BACA: Pelajar Tingkatan 5 Meninggal Dunia Selepas Tamatkan Larian Rentas Desa
BACA: Awalnya Minat Pandu Ambulan, Doktor Kini Miliki 10 Lesen Memandu
Sumber: The Sun