Tegang, Zelensky & Trump Bertikam Lidah Ketika Bertemu
Situasi tegang tercetus ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkunjung ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan rakan sejawatan, Donald Trump di White House, pada Jumaat.
Tindakan Trump dan Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance menempelak Zelensky secara terbuka kini meletakkan masa depan hubungan dan bantuan negara itu kepada Kyiv dalam keadaan tidak menentu.
Menurut CNN, tiada mana-mana pemimpin Amerika Syarikat pernah menyerang tetamu secara verbal, seperti yang dilakukan oleh Trump terhadap Zelensky.
Situasi tegang itu dikatakan hampir menyebabkan hubungan kedua-dua negara runtuh dalam masa nyata. Malah dalam satu ketika, Trump turut mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ukraine secara sepenuhnya.
Trump dan Vance dikatakan meninggikan suara selepas berang dengan Zelensky dan menuduh pemimpin tersebut tidak menunjukkan penghargaan secukupnya terhadap bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat.
Pertemuan tegang di White House, Zelensky dan Trump bertikam lidah
Kedua-duanya turut menuduh Zelensky menjadi penghalang terhadap perjanjian damai dengan Rusia, sebelum diminta beredar dari White House.
“Saat ini kamu tidak berada di posisi yang baik. Kamu sebenarnya yang meletakkan posisi kamu di tempat yang tidak betul.
“Kamu tidak mempunyai ‘kad’ buat masa ini. Dengan bantuan kami, barulah kamu memiliki ‘kad’ tersebut,” kata Trump kepada Zelensky.
Pemimpin Ukraine itu kemudian membalas, “Saya tidak bermain dengan ‘kad’ ketika ini”.
Trump kemudian mula meninggikan suara dan berkata, “Kamu memperjudikan jutaan nyawa dan berjudi dengan Perang Dunia Ketiga”.
Ada satu ketika pula, Vance turut menuduh Zelensky tidak menghormati Amerika Syarikat selaku tuan rumah dalam pertemuan tersebut.
“Pernah kamu mengucapkan ‘terima kasih’ walaupun sekali?,” soal Vance.
Trump kemudian mula berpaling ke arah beberapa penasihat utamanya dan meminta mereka menilai situasi pertemuan tersebut.
Detik-detik tersebut seolah-olah menggambarkan Trump sudah pun membuat keputusan bahawa Zelensky “tidak berada di kedudukan untuk berunding”.
Diminta beredar dari White House
Trump seterusnya memberi isyarat kepada Setiausahan Negara, Marco Rubio dan Setiausaha Perbendaharaan bahawa Zelensky perlu meninggalkan White House.
Selepas itu, delegasi Ukraine dibawa ke menunggu di sebuah bilik berasingan, iaitu SOP yang diamalkan White House apabila menerima kunjungan pemimpin asing.
Menurut CNN, Zelensky meninggalkan White House tidak lama kemudian dan sidang media bersama yang dirancang selepas pertemuan itu turut dibatalkan.
Zelensky dikatakan keluar dari White House dengan menaiki sebuah SUV berwarna hitam dan perjanjian yang membenarkan Amerika Syarikat mengakses sumber mineral Ukraine juga tidak ditandatangani.
BACA: Skype Bakal Tamatkan Operasi
Sumber: CNN, AFP