Skype Bakal Tamatkan Operasi
Aplikasi perintis panggilan suara dan video dalam talian, Skype akan menamatkan operasi pada Mei depan, lapor AFP.
Microsoft yang mengendalikan aplikasi tersebut mengumumkan perkara itu pada Jumaat.
“Skype tidak lagi akan tersedia mulai Mei 2025,” kata syarikat itu.
Bagaimanapun, pengguna Skype boleh beralih kepada platform Microsoft Teams untuk terus menggunakan ciri-ciri panggilan video.
Untuk pengetahuan, Skype telah diasaskan pada tahun 2003 oleh Niklas Zennstrom dan Janus Friis di Estonia.
Kemunculan aplikasi itu menandakan revolusi komunikasi di dalam internet yang menawarkan panggilan suara percuma antara komputer. Ia juga mempunyai kadar berpatutan untuk panggilan ke talian tetap dan telefon mudah alih.
Tahun berganti tahun, ketika kadar kelajuan internet semakin baik, Skype juga berkembang dengan ciri panggilan video, pemesejan segera, perkongsian fail dan ciri komunikasi kumpulan.
Menjelang tahun 2005, Skype digunakan secara meluas di seluruh dunia dan telah mencapai 50 juta pengguna berdaftar.
BACA: Microsoft Perkenal Cip Pengkomputeran Kuantum Pertama
Ketika itu juga, eBay telah memperoleh hak pemilikan Skype dengan harga kira-kira $2.6 bilion. Namun, pada tahun 2009, eBay telah menjual pegangan majoriti kepada sekumpulan pelabur. Selepas itu, ia kemudiannya dijual kepada Microsoft.
Di zaman yang serba pesat kini, terutamanya selepas kebangkitan telefon pintar, Skype nampaknya gagal mengekalkan takhtanya. Aplikasi itu terpaksa bersaing dengan WhatsApp dan Zoom yang dimiliki Meta. Tidak terkecuali, Skype juga tenggelam apabila munculnya Microsoft Teams.
Presiden aplikasi dan platform kerjasama Microsoft 365, Jeff Teper memberitahu CNBC bahawa mereka telah banyak belajar daripada Skype ketika mengembangkan aplikasi Teams sejak tujuh hingga lapan tahun lalu.
“Kami boleh menyampaikan lebih banyak inovasi dengan lebih pantas hanya dengan memberi tumpuan kepada Teams,” katanya.
Sementara itu, Microsoft sedang mengalih keluar ciri telefon Skype yang menyaksikan pengguna tidak lagi boleh menghubungi nombor telefon biasa, telefon bimbit atau membuat panggilan antarabangsa.
Menurut Microsoft, ciri ini tidak lagi relevan dalam landskap komunikasi hari ini di mana pelan data mudah alih lebih murah.
Sumber: AFP