IFAB Pinda Peraturan, Beri Sepakan Sudut Untuk Lawan Jika Penjaga Gol Pegang Bola Lebih 8 Saat
Switzerland – Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) meluluskan beberapa perubahan peraturan termasuk pemberian sepakan sudut kepada pasukan lawan sekiranya penjaga gol memegang bola melebihi lapan saat.
Peraturan tersebut merupakan pindaan kepada Undang-Undang 12.2 (Sepakan percuma tidak langsung) yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-139 IFAB yang dikelolakan oleh Persatuan Bola Sepak Ireland di Belfast pada Sabtu.
Keputusan meluluskan pindaan peraturan itu adalah berdasarkan beberapa sesi percubaan yang memberi hasil positif apabila penjaga gol memegang bola dengan lebih lama, maklum lembaga berkenaan.
Terdahulu, peraturan tersebut menetapkan pemberian sepakan percuma sekiranya penjaga gol memegang bola melebihi enam saat.
BACA: Piala FA: Pemain Muslim Dibenar Rehat Seketika Semasa Iftar
Selain daripada pindaan peraturan tersebut, IFAB turut memperkenalkan panduan buat mana-mana penganjur perlawanan yang ingin mengguna pakai peraturan Undang-Undang 3.10 (Kapten pasukan).
Peraturan ini meletakkan syarat hanya kapten pasukan yang dibenarkan mendekati pengadil dalam situasi tertentu.
“IFAB bersetuju bahawa kerjasama dan komunikasi yang kukuh antara kapten dan pengadil, yang sering menghadapi percanggahan lisan atau fizikal ketika membuat keputusan, dapat membantu dalam menyemai tahap keadilan dan saling menghormati yang lebih tinggi.
“Kedua-dua perkara ini merupakan nilai asas dalam perlawanan,” ujar IFAB menerusi laman sesawang rasmi lembaga itu.
Menerusi mesyuarat agung tersebut, beberapa peraturan lagi turut dipinda yang melibatkan Undang-Undang 8.2 (Menjatuhkan bola). Begitu juga Undang-Undang 9.2 (Bola dalam perlawanan), protokol video pembantu pengadil (VAR) dan garis panduan praktikal bagi pegawai perlawanan.
Sementara itu, IFAB menyokong usaha FIFA yang menguji penggunaan kamera badan oleh pegawai perlawanan bola sepak FIFA. Usaha itu mungkin membantu dalam membangunkan piawai kualiti dan keselamatan.
Perubahan ini dijangka berkuat kuasa di Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2025.
BACA: Polis Siasat Dakwaan Guru Ada Hubungan Istimewa Dengan Murid
BACA: Kenakan Penalti Terhadap 8 Perusahaan Terlibat Kartel Tipuan Bida