Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Piala FA: Pemain Muslim Dibenar Rehat Seketika Semasa Iftar
England – Pemain bola sepak beragama Islam yang terlibat dengan Perlawanan Piala FA pusingan kelima minggu ini diberi kelonggaran untuk berehat seketika. Ia bagi memberi laluan kepada mereka untuk berbuka puasa, lapor ESPN.
Persatuan Bola Sepak Inggeris mengumumkan perkara tersebut menerusi lembaran fakta pusingan tersebut.
“Pemain yang menyambut Ramadan akan dibenarkan berhenti seketika dalam perlawanan untuk berbuka puasa.
“Anggaran masa akan ditetapkan ketika waktu rehat tersebut dilaksanakan. Ia tidak akan digunakan sebagai waktu rehat pasukan atau waktu rehat taktikal,” maklum persatuan tersebut.
Difahamkan, antara mereka yang terlibat termasuk pemain bola sepak pasukan Manchester City, Omar Marmoush dan Abdukodir Khusanov. Berdasarkan jadual perlawanan, pasukan Manchester City bakal bertembung pasukan Plymouth pada Sabtu, jam 5.45 petang.
Sebagai makluman, waktu matahari terbenam di sana berlaku sekitar jam 5.47 petang waktu tempatan.
Untuk pengetahuan, umat Islam di sebahagian kawasan United Kingdom mula berpuasa seawal 1 Mac mengikut pengumuman di Arab Saudi, lapor Birmingham Live.
Menurut Manchester Evening News, perkara ini berlaku disebabkan beberapa masjid tempatan mengikut pengumuman Arab Saudi manakala beberapa masjid yang lain mengikut pengumuman daripada Morocco, iaitu negara Islam terdekat dengan UK.
Namun begitu, Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan Ahlus Sunnah UK menetapkan 1 Ramadan jatuh pada Ahad, 2 Mac 2025. Perkara ini ditetapkan selepas percubaan ahli jawatankuasa tersebut melihat anak bulan tidak membuahkan hasil.
“Bulan sabit tidak kelihatan maka kita akan menyempurnakan 30 hari bulan Syaaban jadi solat tarawih pertama akan dijalankan pada Sabtu, 1 Mac. Hari pertama berpuasa di bulan Ramadan pula jatuh pada Ahad, 2 Mac 2025,” maklum jawatankuasa tersebut.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu muat naik di laman Facebook rasmi jawatankuasa berkenaan.
BACA: Umat Islam Di Indonesia Mula Berpuasa Sabtu, Singapura, Thailand, Kemboja Mulai Ahad
BACA: Detik Pengumuman Puasa Di Jepun, Rupanya Ikut Tarikh Diumumkan Malaysia
Sumber: ESPN, BBC, Birmingham Live, Manchester Evening News, Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan Ahlus Sunnah UK