Tradisi ‘Unik’ Sambutan Ramadan Di Pelbagai Negara
Bulan Ramadan disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Namun, setiap negara memiliki cara tersendiri dalam menghidupkan suasana bulan suci ini.
Berikut adalah beberapa tradisi unik yang diamalkan di empat negara sepanjang Ramadan.
1. Dubai
Burj Khalifa, bangunan tertinggi di dunia yang terletak di Dubai, menawarkan pengalaman unik sepanjang bulan Ramadan.
Salah satu keunikan yang menarik perhatian ialah perbezaan waktu berbuka puasa berdasarkan ketinggian bangunan.
Dengan ketinggian mencecah 828 meter, waktu matahari terbenam di Burj Khalifa berbeza mengikut tingkat.
Oleh itu, terdapat garis panduan khas bagi penghuni dan pengunjung mengenai waktu berbuka puasa:
Tingkat 1 hingga 80: Mengikut waktu berbuka puasa rasmi seperti di seluruh Dubai.
Tingkat 81 hingga 150: Berbuka puasa 2 minit lebih lewat daripada waktu rasmi.
Tingkat 151 ke atas: Berbuka puasa 3 minit lebih lewat daripada waktu rasmi.
Perbezaan ini berlaku kerana semakin tinggi seseorang berada di bangunan ini, semakin lama mereka dapat melihat matahari sebelum ia terbenam sepenuhnya.
Difahamkan, ia juga konsep sama bagi mereka yang tinggal atau berada di kawasan pergunungan, disarankan berbuka puasa selepas penduduk di tanah rendah.
2. Indonesia
Menjelang bulan suci Ramadan, masyarakat Jawa, khususnya di Jawa Tengah dan Yogyakarta, mempunyai tradisi unik yang dikenali sebagai “padusan”.
Tradisi ini dilakukan sehari sebelum permulaan ibadah puasa dan biasanya dijalankan secara beramai-ramai di kolam renang, mata air atau sendang (mata air).
Menurut Budayawan Universiti Gadjah Mada, Rudy Wiratama, tradisi ini melambangkan penyucian diri, baik secara fizikal mahupun rohani, sebagai persiapan menyambut Ramadan.
Difahamkan, padusan dianggap sebagai simbol pembersihan diri sebelum menjalani ibadah puasa.
Salah satu lokasi yang menjadi tumpuan bagi tradisi ini ialah kawasan pelancongan umbul atau mata air di Kabupaten Klaten, Jawa Tengah.
3. Mesir
Salah satu elemen paling ikonik dalam sambutan Ramadan di Mesir ialah penggunaan lentera atau dikenali sebagai “Fanous“.
Lentera ini diperbuat daripada logam dan kaca berwarna, hadir dalam pelbagai bentuk serta saiz.
Setiap kali menjelang Ramadan, jalan-jalan, rumah dan balkoni dihiasi dengan lampu-lampu serta lentera besar yang menambah seri suasana malam.
Selain itu, satu lagi tradisi menarik di Mesir ialah kehadiran “Mesaharati“, iaitu kumpulan pemalu gendang yang bertanggungjawab mengejutkan penduduk untuk bersahur.
Setiap pagi sebelum subuh, mereka akan berjalan perlahan-lahan di lorong-lorong sambil memalu gendang dengan rentak berulang bagi membangunkan orang ramai.
Tradisi ini dipercayai bermula sejak era Uthmaniyah, ketika jam loceng masih belum wujud.
Bukan sekadar memalu gendang, Mesaharati juga akan menyanyikan rangkap-rangkap berima yang mencerminkan budaya rakyat.
Bukan hanya itu, tidak seperti kebanyakan negara Islam di Asia Barat dan Asia Tengah, Mesir mempunyai tradisi unik iaitu menembak meriam sebagai tanda waktu berbuka puasa.
Apabila matahari terbenam, bunyi dentuman meriam bergema di seluruh bandar Kaherah, menandakan waktu Maghrib dan permulaan hidangan berbuka puasa.
4. Qatar
Salah satu sambutan yang paling dinantikan di Qatar ialah “Garangao”, sebuah perayaan tradisional yang diraikan pada malam ke-14 Ramadan.
Festival ini menjadi simbol penghargaan kepada kanak-kanak yang berjaya menunaikan puasa sepanjang separuh pertama bulan suci ini.
Ia sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk meneruskan ibadah hingga ke penghujung Ramadan.
Pada malam Garangao, sebaik sahaja solat Maghrib selesai, kanak-kanak akan keluar ke kejiranan mereka dengan mengenakan pakaian tradisional yang berwarna-warni.
Budak perempuan biasanya memakai zari dress, iaitu pakaian berfabrik berkilau yang dihiasi dengan sulaman benang emas, bersama bakhnaq (tudung kepala yang juga dihiasi benang emas).
Budak lelaki pula memakai thobe putih dan dihiasi aksesori khas untuk acara ini.
Sambil berjalan dari rumah ke rumah, mereka akan mengetuk pintu dan menyanyikan lagu tradisional Garangao.
Setelah menyanyikan lagu ini, mereka akan diberikan pelbagai jenis manisan, kekacang, dan hadiah kecil sebagai tanda kemurahan hati penduduk setempat.
Untuk info, tradisi ini telah diamalkan sejak berabad-abad lalu di Semenanjung Arab, khususnya di negara-negara Teluk seperti Qatar, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, dan Iraq.
BACA: Zarina Zainuddin ‘Bantu’ Allahyarhamah Akiko, Sediakan Sahur Buat Sky
BACA: Ini Senarai Lokasi Bazar Ramadan Di Selangor & KL Bagi Tahun 2025
BACA: Suasana Solat Sunat Tarawih Di Masjid Terbesar Asia Tengah
Sumber: BBC, Kompas.com, Mehr News Agency, Doha News