Malaysia Simpan “Benih Warisan” Di Peti Besi Norway
Malaysia telah berjaya menyimpan benih-benih warisan dan tumbuhan tradisional di Svalbard Global Seed Vault (SGSV) yang terletak di Pulau Longyearbyen, Norway.
Tempat penyimpanan khas ini berada dalam keadaan “permafrost” semula jadi dengan suhu mencecah -18°C. Ini menjadikannya lokasi yang selamat bagi pemeliharaan jangka panjang sumber genetik makanan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Projek BOLD (Biodiversity for Opportunities, Livelihoods and Development) yang dibiayai oleh CropTrust, telah mengenal pasti sumber genetik dari MyGeneBank dan Bank Gen Padi Kebangsaan MARDI untuk disimpan sebagai “pendua” di Svalbard.
Benih yang dihantar terdiri daripada pelbagai jenis padi tradisional, terung dan kacang panjang yang telah dikumpulkan sejak tahun 1977.
Menurut MARDI, sebanyak 725 sampel benih tanaman telah dihantar ke SGSV dalam dua penghantaran berasingan pada Mei dan Disember 2024.
Pada 26 Februari 2025, SGSV dibuka buat kali pertama tahun ini untuk menerima simpanan benih dari Malaysia serta 20 negara lain.
Difahamkan, usaha ini penting untuk menjamin keselamatan dan ketersediaan sumber genetik makanan negara.
Ini terutama sekiranya berlaku bencana yang boleh mengakibatkan kemusnahan kemudahan penyimpanan genetik tempatan.
Dengan adanya “pendua” di SGSV, Malaysia dapat memastikan kelangsungan biodiversiti pertanian serta keselamatan bekalan makanan untuk masa hadapan.
https://www.facebook.com/mardimalaysia/posts/pfbid0NZyc4hv15TkPk3bZLUTfmKZKuin8tRp1GeqnTH6QBcgXQ4sYguYUjuP3Uwrj9ZDsl
BACA: Aidilfitri: 12,600 Tiket Tambahan ETS Mula Dijual Esok
BACA: Ismail Sabri Suspek Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram – Azam Baki
Sumber: MARDI via Facebook