Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 – Stellantis Malaysia berbesar hati untuk melancarkan jenama otomotif tenaga baharu, Leapmotor menerusi produk global pertamanya, SUV elektrik C10 serba baharu. Pelancaran ini menandakan satu pencapaian besar buat Leapmotor International yang merupakan sebuah syarikat kerjasama dengan pegangan 51:49 di antara Stellantis dan Leapmotor. Ia memberi fokus kepada jualan global kenderaan tenaga baharu (NEV) buatan China berteknologi tinggi dan kos efisien yang kian meningkat di pasaran luar China. Pencapaian itu mampu dicatat dalam masa cuma satu tahun sejak syarikat kerjasama berkenaan ditubuhkan, selari dengan pelaburan Stellantis sebanyak €1.5 bilion untuk menguasai sekitar 21% peratus kepentingan Leapmotor.
SUV C10 yang sedia untuk pasaran global itu memulakan penampilan pertamanya di pasaran Asia Tenggara menerusi debut di Malaysia. Jentera berkenaan direka untuk golongan profesional dan keluarga moden dengan menawarkan kualiti pengendalian yang dioptimumkan oleh Maserati, selain aspek keselamatan, keselesaan serta teknologi pintar. Ia hadir dengan reka bentuk yang memenangi anugerah dan digabungkan bersama nilai luar biasa. Semua itu dapat direalisasikan kerana pendekatan Leapmotor yang membangun dan menghasilkan sendiri alat ganti yang merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan kenderaan tersebut.
Disenaraikan sebagai salah satu daripada tiga jenama syarikat pemula EV terbaik dalam pasaran kenderaan tenaga baharu di China, Leapmotor telah mencapai pertumbuhan luar biasa dengan jumlah penghantaran kumulatif sebanyak 460,000 unit menjelang September 2024. Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan Leapmotor sebagai sebuah jenama perintis dan dilihat komited untuk terus berada di pentas global melalui rangkaian jualan dan servis Stellantis yang komprehensif.
Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, “Kerjasama kami dengan Leapmotor agak unik kerana ia menawarkan pelanggan akses kepada teknologi BEV yang bernilai tinggi dan canggih, selain disokong oleh kerangka organisasi dan peruncitan daripada Stellantis. Ini akan memastikan pengalaman pemilikan yang fokus kepada pelanggan, seterusnya dapat membezakan Leapmotor dengan jenama China yang lain. Dengan pengenalan SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu ke pasaran tempatan, kami juga aktif dalam menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau. Sekali gus selari dengan matlamat negara untuk menuju ke arah memperkasakan mobiliti yang mapan.”

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “Pelancaran SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu menandakan perjalanan yang cukup mengujakan buat Stellantis Malaysia. Ia membolehkan kami untuk menjadi pencabar baharu dalam segmen kenderaan elektrik tempatan dengan menawarkan sebuah SUV BEV yang luar biasa. Padat dengan banyak ciri dan teknologi yang pertama di dunia dan di dalam segmennya, C10 ialah produk utama yang akan menonjolkan inovasi terbaik buat pertama kali kepada rakyat Malaysia. Ia juga akan menjadi satu pilihan EV yang inovatif dan mudah diakses dalam pasaran yang cukup kompetitif ini. Kami yakin C10 mampu memenuhi keperluan pengguna di Malaysia yang bijak menilai.
Menerima pengiktirafan berprestij iaitu Anugerah Reka Bentuk Antarabangsa CMF 2023 dan Anugerah Reka Bentuk Perancis 2024, SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu tidak meniru reka bentuk BEV konvensional. Rekaan bulat segi empat tepat dan horizontal yang estetik memberikannya penampilan yang minimalis serta maskulin.
Di bahagian hadapan, C10 menampilkan sepasang lampu utama LED angel wing dengan lampu nyalaan siang (DRL) binaan dalam. Corong kemasukan udara dengan fungsi Penutup Gril Aktif (AGS) pada bampar hadapan berfungsi untuk menyejuk dan menambah baik aspek aerodinamik. Manakala apron pengambilan udara horizontal pada bahagian tepi tampil dengan kemasan yang menarik.
Bonet hadapan direka untuk melindungi pejalan kaki. Rekaan bahagian sisi C10 yang tersendiri itu nyata elegan dengan garis badan 3-selari dan rim “Trident’ bersaiz 20 inci yang bergaya. Spoiler belakang hadir dengan pengelap cermin tersembunyi dan bar lampu animasi LED yang menyerlahkan lagi estetika kontemporarinya.
SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu dibina di atas platform Leap 3.0 termaju yang menawarkan ruang dalaman lus, selamat dan prestasi elektrifikasi optimum. SUV segmen D itu memiliki dimensi 4,739 milimeter panjang, 1,900 milimiter lebar, 1,680 milimeter tinggi dan jarak roda sepanjang 2,825 milimeter. Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 180 milimeter.
Leapmotor ialah syarikat pertama memperkenalkan teknologi Sel ke Chasis (Cell-To-Chassis, CTC) 2.0 yang memberi penekanan terhadap aspek pemasangan pintar sewaktu proses pengilangan dengan mengintegrasikan pek bateri C10 ke dalam struktur. Berbanding platform bukan sel ke badan, C10 menawarkan pelbagai ciri terbaik seperti susun atur ruang bateri yang 17.5 peratus lebih baik. Ini membolehkannya menggunakan input pengecasan yang fleksibel termasuklah teknologi 800V/400V dan pengecasan super 4C/2C, ketegaran torsi 42,500Nm/deg untuk meningkatkan aspek keselamatan serta menambah baik aspek pengurusan suhu yang mengekang penyebaran haba sehingga 720 minit.

Asas elektrifikasi jentera ini merangkumi bateri Lithium-Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9kWh dengan Sistem Pengurusan Bateri AI (BMS) yang dipasang sendiri. Mampu mengurangkan masalah kekurangan kapasiti bateri, memanjangkan hayat bateri, memastikan kestabilan dan keselamatan untuk penggunaan jangka masa panjang, bateri C10 hadir dengan teknologi “Pressure free” yang memerlukan kurang komponen dan lebih ringan.
Motor elektrik Permanent Magnetic Synchronic berupaya menjana kuasa 214hp (160kW) dan tork 320Nm, ini membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa cuma 7.5 saat. Sistem pengecasan, bateri dan jarak pemanduan C10 adalah seperti berikut:
Jarak Pemanduan: 424 KM (WLTP) / 477 KM (NEDC)
On-Board Charger (Maksimum): 6.6 kW
Kapasiti maksimum pengecasan AC: 6.6 kW
Kapasiti maksimum pengecasan DC: 84 kW
Tempoh pengecasan DC (30%-80%): 30 Minit
V2L Discharge Output: 3.3 kW
Bateri ini disejukkan oleh cecair, manakala motor elektrik mendapat sistem penyejukan minyak yang memberikan penambahbaikan sehingga 10 kali ganda kepada aspek perlindungan rangkaian kuasa dan keselamatan. Ia juga menawarkan prestasi yang konsisten dan jangka hayat bateri lebih lama di bawah kondisi mencabar.
Seni bina SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu diintegrasikan dengan bijak menggunakan Seni Bina Elektrikal dan Elektronik Bersepadu (E/E) ‘Four Leaf Clover’ yang menjadi tanda dagang buat Leapmotor. Sistem E/E yang inovatif dan pertama seumpamanya itu direka untuk memusatkan semua kawalan kokpit, pemanduan, kuasa dan domain badan kenderaan menerusi chip Qualcomm® Snapdragon™ 8155 yang berkuasa.
Tetapan ini dilihat penting untuk memastikan integrasi yang lancar di antara rekaan kabin, pemanduan dan parkir, sekali gus menghapuskan semua bentuk maklum balas yang perlahan serta memberikan komunikasi serta-merta di antara komponen-komponen penting di dalam ekosistem pintar C10. Reka bentuk minimalis pada ruang dalaman membuatkannya tidak memerlukan butang fizikal dan menawarkan pengalaman lebih intuitif menerusi ciri Arahan Suara.
Skrin infohibur bersaiz 14.6 inci dikuasakan oleh Leap OS 4.0 yang diintegrasikan dengan ciri Over-the-Air (OTA) menawarkan akses berpusat kepada kenderaan ini. Sementara paparan skrin instrumen bersaiz 10.2 inci memaparkan segala maklumat penting pemanduan. Urusan memarkir dan melalui laluan sempit menjadi lebih mudah dengan adanya kamera panoramik 360° dan pandangan chasis telus dari arah udara.

Pemandu dan penumpang boleh menikmati ruang dalaman Leapmotor C10 yang elegan dengan kemasan berkualiti tinggi dan tempat duduk yang menggunakan tekstil silikon OEKO-Tex Standard 100® yang mesra bayi. Aliran pendingin udara disalurkan menerusi corong elektrik dengan fungsi pembersihan udara boleh ubah dan sistem penapis PM2.5 binaan dalam.
Kawalan pemanduan utama diletakkan secara intuitif pada penukar gear pada kolum stereng elektrik. Manakala urusan untuk masuk ke dalam kenderaan dan kuasa boleh dilakukan menerusi kad NFC atau aplikasi mudah alih Leapmotor. C10 menawarkan empat mode pemanduan berbeza: ECO, Comfort, Sport dan Custom yang membolehkan pemandu memenuhi keperluan mereka ketika memandu.
Kerusi pemandu hadir dengan enam ubah suai secara elektrik dan empat tetapan untuk penumpang hadapan, lengkap bersama tetapan memori. Kedua-dua tempat duduk itu mempunyai ciri reka bentuk ergonomik 3D dengan fungsi ventilasi sejuk, di samping ciri Driver Seat Departure yang memberi notifikasi sekiranya telefon bimbit tertinggal di dalam kereta.
Menjadi sebuah SUV yang direka untuk berorientasikan kepada keluarga dan fleksibel, C10 dilengkapi ruang kabin sepanjang 1.8 meter dan 1.2 meter lebar dengan tempat duduknya boleh dilipat rata menjadi seperti sebuah katil berkembar. Aspek versatiliti itu boleh dicapai dengan melipat semua tempat duduk untuk menghasilkan Camp Mode dan Nap Mode bagi memenuhi apa jua aktiviti.
Sebagai tambahan, konsol hadapan dilengkapi pad pengecasan tanpa wayar 15-watt, satu ruang penyimpanan barang, satu soket 12-volt, serta outlet kuasa USB-C 60-watt dan USB-A. Penumpang belakang boleh mengecas peranti pintar mereka menggunakan dua port USB-C atau USB-A. Bahagian kabin belakang menawarkan ruang kaki mencecah 951 milimeter dan ruang kepala seluas 1,050 milimeter, selain dilengkapi ciri-ciri unik seperti berikut:
Tempat duduk belakang boleh direbahkan dengan hanya satu langkah
Bumbung kaca panoramik sebesar 2.1 m2 dengan pelindung matahari yang boleh ditarik
Lampu ambien berirama dengan warna yang boleh ditukar-tukar
12 unit pembesar suara dengan bunyi keliling dan kesan bunyi AI
Empat mode audio Dewan Konsert (Enjoyment, Surround, Theater, Dynamic)
Amplifier berkapasiti 840-watt
C10 menawarkan ruang but seluas 435 liter dan kapasiti sehingga 1,410 liter apabila tempat duduk dengan konfigurasi 60/40 itu dilipat rata. Untuk memberi lebih kemudahan, pintu belakang kuasa boleh dioperasi dengan beberapa pilihan ketinggian.
SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu menawarkan rangkaian ciri keselamatan yang komprehensif seperti 7 beg udara dan sistem ADAS Tahap 2 Leap Pilot bersama fungsi-fungsi canggih berikut:
Adaptive Cruise Control (ACC)
Lane Centering Control (LCC)
Traffic Jam Assist (TJA)
Front Collision Warning (FCW)
Autonomous Emergency Braking (AEB)
Blind Spot Detection (BSD)
Door Opening Warning (DOW)
Emergency Lane Keeping (ELK)
Lane Departure Warning (LDW)
Lane Keep Assist (LKA)
Rear Collision Warning (RCW)
Rear Cross-Traffic Alert And Braking (RCTA + RCTB)
Intelligent Speed Assist (ISA)
Driver Drowsiness Alert Warning (DDAW)
Advanced Driver Distraction Warning (ADDW)

Harga & Warna
SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu ditawarkan dengan harga pengenalan RM149,000 di atas jalan tanpa insurans untuk tempoh terhad. Ia hadir dalam warna hijau (Glazed Green), putih Mutiara (Pearly White) dan kelabu (Canopy Grey atau Tundra Grey), serta dua warna dalaman iaitu coklat (Criollo Brown) khas untuk warna Glazed Green atau hitam (Midnight Aurora). Harga pengenalan ini sah untuk tempahan yang dibuat sehingga 30 November 2024. Selepas tempoh ini habis, Leapmotor C10 akan ditawarkan pada harga RM159,000.
Stellantis Malaysia akan mempercepatkan aspek jualan, pengedaran dan servis selepas jualan untuk SUV elektrik Leapmotor C10 serba baharu di pasaran pasaran bermula dengan 18 poin lokasi jualan pada tahun ini dan merancang untuk menambah sebanyak 9 lagi pada tahun 2025. Menjelang tahun 2025, akan terdapat 16 pusat servis sah dengan enam daripadanya dijadual beroperasi pada Q4, 2024.