Hasil Tanaman Dibuat Kuih, Wanita Kongsi Resipi Koci Labu
Dapat menikmati hasil tanaman di rumah merupakan idaman ramai. Tidak semua dalam kalangan kita yang berpeluang mempunyai ruang halaman untuk bercucuk tanam, terutamanya mereka yang tinggal di apartmen atau menyewa bersama rakan.
Peluang ini sering dapat dinikmati mereka yang mempunyai kediaman berhalaman luas. Tanah yang ada digunakan sebaiknya untuk bercucuk tanam dan hasil tuaian dapat dijadikan bahan masakan.
Itulah nikmat yang dirasai Profesor Dr Siti Rugayah atau lebih mesra dipanggil Bonda Siti apabila tanaman suaminya membuahkan hasil. Minat memasak membuatkan Bonda Siti menggunakan masa terluang dengan menghasilkan juadah yang pelbagai dari tuaian tanaman suaminya.
“Alhamdulillah, suami tanam labu satu pokok sahaja, buahnya tidak banyak tapi bersambung-sambung. Tuaian pertama melebihi enam kilo sebiji. Tuaian kedua ini ada tiga biji, dalam tiga kilogram lebih. Ok bonda cuba buat kuih koci,” nukilnya di laman Facebook.
Mari ikuti perkongsian resipi kuih koci labu leleh Bonda Siti.
Dalam resipi ini, Bonda Siti membahagikan ramuan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama ialah bahan untuk membuat doh labu. Sediakan 600 gram labu, iaitu kira-kira dua cawan. Anda juga perlukan dua cawan tepung pulut dan satu perempat cawan air.

Manakala bahagian kedua ramuan pula diperlukan untuk membuat intinya. Sediakan setengah biji kelapa parut, tiga ketul gula merah, satu sudu tepung gandum dan setengah sudu kecil garam. Ramuan bahagian ketiga ialah untuk membuat lelehnya. Sediakan dua cawan santan pekat, dua sudu tepung beras dan satu sudu kecil garam.
“Bonda guna 200 mililiter santan kotak ditambah air untuk menjadi dua cawan,” maklum Bonda Siti.
Ketika ditanya SK, Bonda Siti memaklumkan daun pandan juga diperlukan dalam resipi ini.
“Gunakan sehelai daun pandan ketika masak bersama inti. Sehelai atau dua helai ketika masak santan bersama tepung beras,” katanya.
Setelah cukup semua bahan disediakan, mari kita mula memasak.
Cara buat koci labu leleh
Mulakan dahulu dengan mengukus buah labu yang sudah dipotong. Bonda Siti memaklumkan masa untuk labu masak tidak dapat ditentukan kerana ia berbeza bagi setiap labu.
“Ada yang cepat lembut dan ada sebaliknya. Cara untuk mengetahui sudah masak atau belum, cucuk menggunakan garpu. Kalau garpu sudah boleh terbenam atau boleh dicucuk, bererti sudah lembut dan masak,” pesannya.
Sementara menunggu labu masak, buatkan inti pula. Masak gula melaka bersama daun pandan sehingga gula melaka cair.

Kemudian, masukkan kelapa parut dan tepung gandum. Kacau hingga sebati. Untuk memasak gula melaka, ada satu perkara yang perlu anda ketahui supaya gula tidak hangit.
“Jangan berhenti kacau, mendidih sahaja terus masukkan kelapa. Apabila kelapa dan gula melaka sudah sebati elok, letak tepung gandum. Dah sebati semua, angkat (tiada masa tertentu),” pesan Bonda Siti.

Apabila gula melaka, kelapa dan tepung gandum sudah sebati, tutup api. Sejukkan inti sebentar. Sementara menunggu, boleh terus sediakan lelehan.
“Masak santan bersama tepung beras dan garam,” ujar Bonda Siti.
Selepas siap, ketepikan dahulu. Jangan biar santan di atas dapur yang masih panas untuk mengelakkan santan terlebih masak. Bonda Siti turut berikan tip untuk memasak santan.
“Masak hingga berkuap (mendidih) dan jangan berhenti kacau. Kalau masak hingga mendidik, santan tidak akan basi. Tanda sudah mendidih, santan yang ada tepung tadi akan meletup-letup kecil,” katanya.

Seterusnya periksa labu yang sedang dikukus tadi. Jika sudah masak, toskan labu sebelum dilenyek. Gunakan bekas yang sesuai untuk hasilkan doh labu. Setelah itu, campurkan labu dengan tepung gandum dan garam.
“Ratakan hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan,” pesan Bonda Siti.

Selepas siapkan doh, letak sebentar di sebelah untuk sediakan inti pula. Jadikan inti yang telah sejuk gumpalan kecil. Jika anda suka inti yang banyak, boleh bulatkan inti besar-besar. Pesan min, jangan terlalu besar, nanti tak muat untuk dibalut dengan daun pisang.

Ambil doh kemudian balutkan gumpalan inti. Doh akan kelihatan seperti bebola kuning. Letakkan doh labu di tengah-tengah daun pisang yang sudah dipotong dan dilayur, kemudian sapukan lelehan santan. Lelehan tidak perlu terlalu banyak, sedang-sedang sahaja.
Kemudian, bungkus bebola koci dengan daun pisang. Pastikan bungkus dengan kemas supaya lelehan tidak terkeluar. Bagi anda yang tidak tahu cara membalut dengan daun pisang, anda boleh tonton video perkongsian Bonda Siti yang turut menyertakan cara-caranya secara ringkas.
Setelah siap dibalut, susun dalam talam dan kukus selama 30 minit.

Kuih koci labu siap untuk dinikmati ketika berbuka puasa. Selamat mencuba.
BACA: Ini Resipi Puding Kastard Jagung, Manisan Wajib Ketika Ramadan
Sumber: Siti Rugayah Hj Tibek