Pelajar USIM Terpilih Jadi Imam Tarawih Di Masjid New Zealand
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah apabila terpilih menjadi imam solat Tarawih di sebuah masjid “Manukau Islamic Youth Centre” di Auckland, New Zealand.
Difahamkan, Muhammad Hanif Zakaria, 24, pelajar dari Fakulti Quran dan Sunnah itu telah memulakan tugasnya sebagai imam Tarawih bermula 2 hingga 26 Mac ini.
Pemuda kelahiran, Kota Bharu, Kelantan itu menzahirkan rasa syukur bahawa pemilihan tersebut merupakan satu kejayaan yang manis terhadap dirinya, memandangkan dia perlu bersaing sengit dalam sesi temu duga.
“Saya terkejut tetapi sangat bersyukur. Ini peluang keemasan, sekali seumur hidup,” katanya.
Lebih manis, ini merupakan pengalaman pertamanya di pentas antarabangsa, menjadikan tanggungjawab ini lebih mencabar namun penuh dengan pengalaman berharga.
“Sebagai wakil pertama USIM yang berkhidmat di New Zealand, saya (Hanif) berharap penglibatannya menjadi pembuka jalan kepada pelajar lain pada masa akan datang.
“Saya mahu menjadi perintis. Semoga selepas ini lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan,” ujarnya lagi.
Pelajar pengajian program Qiraat itu turut mengambil kesempatan untuk mengajar Al-Quran kepada jemaah setempat bagi memastikan bacaannya lancar sewaktu memimpin solat dengan sempurna, sepanjang berada di bumi Auckland.
Meskipun kemasukan ke New Zealand mempunyai syarat ketat, namun dia tetap berusaha menguruskan keperluan dokumentasi seperti visa dan pasport.
“Saya juga mempraktikkan bertutur dalam bahasa Inggeris untuk memudahkan komunikasi di sana,” katanya
Kata Hanif, pesanan yang dititipkan oleh kedua ibu bapanya sentiasa menjadi pedoman buat dirinya agar menjaga diri, menghormati masyarakat setempat dan membawa nama baik keluarga serta USIM di peringkat antarabangsa.
Dari Kota Bharu terbang ke Auckland
Pemuda itu membuktikan bahawa ilmu Al-Quran tidak mengenal sempadan, dalam menggalas amanah besar sebagai duta kecil USIM selain menyebarkan syiar Islam di bumi New Zealand.