Disangka Kacang Hitam, Rupanya Aiskrim Berisi Ular
Thailand – Seorang lelaki dari Ratchaburi terkejut apabila menemui ular berbisa membeku di dalam aiskrim yang dibelinya, lapor The Thaiger.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, lelaki berkenaan memaklumkan ular tersebut ditemui di bahagian atas aiskrim kacang hitam yang dibelinya pada 4 Mac.
“Ular bermata rusa, awak hidup lagi ke? Aiskrim kacang hitam. Ini gambar sebenar dan situasi sebenar. Saya sendiri yang beli aiskrim ini,” katanya menerusi muat naik tersebut.
Gambar yang dikongsi lelaki berkenaan menunjukkan keseluruhan badan ular tersebut melingkar dan membeku bersama aiskrim kacang hitam itu. Tular di media sosial, warga maya cuba untuk meneka spesies ular tersebut.
BACA: “Gigi Tajam Sangat” Gadis Kongsi Detik Cemas Digigit Ular Sawa Ketika Buang Air
Melihat kepada warna kulit, ramai yang meneka ular berkenaan mungkin spesis chrysopelea ornata, dikenali sebagai ular pokok emas atau ular terbang. Di Thailand, ular itu turut dipanggil dengan nama ular Khiao Phra-in. Khiao bermaksud hijau dan Phra-in merujuk kepada Tuhan Hindu Indra yang berkulit hijau.
Ular yang sedikit berbisa ini kebiasaannya ditemui di Thailand, China, India dan Sri Lanka. Begitu juga di Myanmar, Malaysia dan Filipina.
Disebabkan sifatnya yang mempunyai bisa, warga maya mempersoal sama ada racun bisa ular tersebut boleh berpindah jika termakan aiskrim berkenaan. Setakat ini, tiada pakar tampil memberi jawapan.
Berikutan itu, warga maya menasihatkan lelaki berkenaan agar tidak memakan aiskrim yang berisiko melalui proses penghasilan yang tidak bersih.
Malah, warga maya juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya. Tegas mereka, jika seekor ular boleh ada di dalam aiskrim itu, tidak terkecuali bahan-bahan tercemar yang lain turut ada.
Bagaimanapun, nama syarikat yang mengeluarkan aiskrim itu tidak diketahui.
Sehingga kini, perkongsian itu di Facebook telah mendapat lebih 8,000 tanda suka dan lebih 9,000 perkongsian.
Sumber: The Thaiger, Independent