Hujan Lebat Dijangka Landa 10 Negeri, 1 Wilayah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir di 10 negeri termasuk satu Wilayah Persekutuan (WP) hingga 9 malam ini.
Menurut ramalan yang dimuat naik di laman Facebook, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di seluruh negeri Pulau Pinang dan WP Kuala Lumpur.
Keadaan di Kedah menunjukkan hujan lebat bakal berlaku di Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu. Manakala di Perak, hampir kebanyakan kawasan dijangka terima hujan lebat dan ribut petir. Antara daerah yang tersenarai termasuk Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar. Begitu juga Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Selangor, MetMalaysia turut menyenaraikan beberapa daerah yang bakal dilanda hujan lebat iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat. Begitu juga daerah Jelebu di Negeri Sembilan.
Selain itu, beberapa daerah di Johor dijangka alami hujan berserta ribut petir iaitu Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Beralih ke Terengganu, cuaca buruk diramal hanya berlaku di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Amaran hujan lebat turut dikeluarkan bagi daerah Tanah Tinggi Cameron, Raub, Jerantut, Bentong, Pekan dan Rompin di Pahang.
Terus ke Sarawak, MetMalaysia menyenaraikan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei bakal hujan lebat. Begitu juga Sibu, Mukah (Tanjung Manis dan Daro), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau) dan Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi).
Di Sabah, daerah Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat turut tersenarai.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan tersebut.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat agar berhati-hati ketika berada di luar.
BACA: Cuaca Panas Diramal Tidak Seteruk Tahun Lepas – Nik Nazmi