11 Tahun Berlalu, MH370 Masih Tiada Jejak
Hari ini, 8 Mac 2025, genaplah 11 tahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang pernah menggemparkan dunia.
Kehilangan pesawat yang 227 penumpang dan 12 anak kapal ini sudah tentunya meninggalkan kesan mendalam terhadap ahli keluarga yang setia menanti khabar berita mengenai pesawat berkenaan.
Tambahan lagi, lokasi, punca dan nasib anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200 ini kekal menjadi persoalan sehingga kini.
Bersempena memperingati tragedi ini, mari kita ikuti semula kronologi misteri kehilangan pesawat MH370 di bawah.
Kronologi Misteri Kehilangan MH370

2014
8 Mac – Pesawat MH370 berlepas dari KLIA pada jam 12.41 pagi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal. Kurang sejam kemudian, pesawat gagal dihubungi. Mesej terakhir dari kokpit pada jam 1.19 pagi ialah “Good Night, Malaysian Three Seven Zero”, sebelum hilang dari radar. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan di Laut China Selatan.
9 Mac – Kawasan pencarian diperluaskan ke Selat Melaka selepas terdapat petunjuk bahawa pesawat berpatah balik. Beberapa negara, termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat, menyertai operasi ini.
15 Mac – Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan bahawa komunikasi terakhir MH370 dengan satelit menunjukkan dua kemungkinan laluan penerbangan: koridor utara (Kazakhstan-Turkmenistan hingga utara Thailand) atau koridor selatan (Indonesia hingga selatan Lautan Hindi). Sebanyak 26 negara terlibat dalam pencarian meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi.
24 Mac – Najib Razak mengesahkan berdasarkan data satelit Inmarsat bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
1 April – Australia menubuhkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) untuk menyelaraskan operasi mencari.
BACA: Aplikasi CIMB Clicks Dihentikan Mulai 12 April Ini
4 April – JACC mengumumkan operasi memasuki fasa baharu dengan pencarian di dasar laut menggunakan alat pengesan ‘pinger’ kotak hitam.
31 Julai – Kapal Zhu Kezhen dan Fugro Equator menjalankan pemetaan dasar laut di arka ketujuh Lautan Hindi.
21 Oktober – Kapal Go Phoenix dari Malaysia menyertai operasi mencari bersama kapal Fugro Discovery dan Fugro Equator dari Australia. Kapal Fugro Supporter turut ditambah dalam misi ini.
2015
29 Januari – Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman, mengisytiharkan MH370 sebagai satu kemalangan berdasarkan Konvensyen Chicago. Semua 239 individu di dalamnya dianggap terkorban.
12 Februari – Malaysia berbincang dengan China untuk menambah kapal pencarian, menjadikan jumlah keseluruhan empat kapal.
25 Februari – Pencarian dasar laut Lautan Hindi mencapai 40% daripada kawasan utama yang disasarkan, meliputi lebih 24,000 km².
18 Jun – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mengumumkan fasa kedua pencarian MH370 diteruskan dengan hanya dua kapal, selepas fasa pertama meliputi 52,000 km² selesai.

29 Julai – Sebuah serpihan sayap sepanjang 2.7 meter, dikenali sebagai ‘flaperon’, ditemui di Pulau La Reunion. Pakar mengesahkan ia milik Boeing 777, satu-satunya pesawat jenis itu yang hilang di Lautan Hindi.
6 Ogos – Najib Razak mengesahkan bahawa ‘flaperon’ itu berasal daripada MH370.
2016
7 Mac & 20 April – Dua serpihan baharu yang dipercayai milik MH370 ditemui di Pulau La Reunion.
14 Mei – DCA hampir pasti bahawa serpihan di Afrika Selatan dan Mauritius berasal daripada MH370.
22 Julai – Malaysia, China, dan Australia bersetuju menangguhkan pencarian selepas meliputi 120,000 km persegi.
BACA: Jangan Klik Pautan SMS Menyamar Pihak JPJ
16 September – Dua daripada 24 serpihan pesawat yang ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius, dan Tanzania disahkan milik MH370.
7 Oktober – Pakar ATSB mengesahkan serpihan di Mauritius berasal daripada MH370.
20 Disember – ATSB menyatakan kawasan pencarian sebelum ini bukan lokasi sebenar bangkai pesawat.
2017
17 Januari – Operasi pencarian MH370 di dasar Lautan Hindi dihentikan oleh Malaysia, Australia, dan China.
27 Januari hingga 7 Disember – Beberapa serpihan ditemui di Afrika Selatan, laporan kajian CSIRO diterbitkan, dan persidangan Ocean Infinity diadakan di London.
2018
21 Januari – Ocean Infinity memulakan semula pencarian bawah air untuk MH370.
8 Jun – Ocean Infinity menamatkan pencarian tanpa hasil konkrit.
30 Julai – Malaysia menerbitkan laporan penyiasatan keselamatan MH370.
20 Ogos – Serpihan baharu ditemui di Madagascar oleh seorang nelayan.

2021
Disember — Jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey, meramalkan lokasi terakhir MH370 di Lautan Hindi, kira-kira 2,000 km dari barat Perth. Ketua Pesuruhjaya ATSB, Angus Mitchell, mengesahkan pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan Godfrey.
Selain itu, pakar penerbangan, Prof. Mohd Harridon Mohamed Suffian, menyarankan Malaysia turut serta dalam misi pencarian baharu bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti mengenai nasib pesawat ini.
2024
20 Disember — Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menerima tawaran Ocean Infinity untuk meneruskan usaha pencarian di lokasi baharu seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’.
2025
8 Mac — MOT memaklumkan Kerajaan bertegas dengan komitmen untuk meneruskan operasi pencarian pesawat MH370 termasuk giat muktamadkan perjanjian pencarian baharu selaras prosedur negara.
Sumber: Bernama (1), (2), Airlines Ratings, Bernama via Astro Awani (1), (2), (3), Menteri Pengangkutan Malaysia