Kod Warna Pada Tiub Ubat Gigi Didakwa Punya Fungsi Tertentu
Dalam memilih ubat gigi, kebanyakan orang akan mengambil kira kandungan bahan, tarikh luput, manfaat kesihatan yang ditawarkan, dan kadangkala rasa ubat gigi itu sendiri.
“Whitening”, “Anticavity”, “Tartar control” dan “Fresh breath” – semua ini adalah istilah yang sering tertera pada bungkusan ubat gigi.
Namun, ada satu perkara lain yang turut menarik perhatian segelintir pengguna, iaitu kod warna kecil di bahagian bawah tiub ubat gigi.
Mitos yang ramai percaya
Menurut dakwaan yang tersebar di media sosial dan laman web tertentu, warna-warna ini kononnya menunjukkan kandungan bahan dalam ubat gigi.
Dakwaan ini mengatakan bahawa:
- Hijau – Hanya bahan semula jadi
- Biru – Campuran bahan semula jadi dan ubat
- Merah – Campuran bahan semula jadi dan bahan kimia
- Hitam – Hanya bahan kimia
Dakwaan ini turut menasihati pengguna supaya mengelakkan ubat gigi dengan tanda merah atau hitam dan memilih yang bertanda hijau atau biru sahaja.
Kebenarannya
Realitinya, sistem kod warna ini tidak wujud.
Syarikat pengeluar ubat gigi tidak menggunakan warna-warna ini untuk menunjukkan kandungan bahan atau menyembunyikan sesuatu daripada pengguna.
Jadi, apakah fungsi sebenar tanda warna pada tiub ubat gigi?
Sebenarnya, ia adalah tanda yang digunakan dalam proses pembuatan bagi membantu mesin mengenal pasti tempat untuk memotong, melipat atau mengedap bungkusan.
Malah, kod warna ini bukan sahaja terhad kepada warna hijau, biru, merah dan hitam, tetapi boleh didapati dalam pelbagai warna lain bergantung kepada keperluan mesin dan jenis pembungkusan yang digunakan.
Oleh itu, semua warna ini sebenarnya mempunyai fungsi yang sama dan tidak membawa makna kepada pengguna.
Macam mana nak tahu kandungan ubat gigi?
Jika benar-benar ingin mengetahui kandungan dalam ubat gigi yang digunakan, cara terbaik adalah dengan membaca senarai bahan yang dicetak pada kotak atau tiub ubat gigi itu sendiri.
Maklumat ini lebih tepat dan boleh membantu anda memilih produk yang sesuai dengan keperluan anda.
BACA: Pengurus HR Tipu Syarikat RM9.7 Juta, Kaut Gaji “Pekerja Rekaan”
BACA: “Disambut Kabus,” Lelaki Kongsi Suasana Pagi Hantar Anak Sekolah Di Cameron Highlands
BACA: MyKad Hilang, Lelaki Terkejut Ada Hutang Lebih RM14 Ribu
Sumber: Healthline, Colgate