Siakap Keli
Keterangan Ismail Sabri
Gambar: BERNAMA

SPRM Dijangka Ambil Keterangan Ismail Sabri Hari Ini

SPRM Dijangka Ambil Keterangan Ismail Sabri Hari Ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan mengambil keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk memberi keterangan pada 10 pagi.

Azam berkata sijil cuti sakit Ismail Sabri telah berakhir semalam.

“Beliau (Ismail Sabri akan) hadir untuk dirakam percakapan berdasarkan siasatan sedang dijalankan dan saksi-saksi tambahan (juga) akan dipanggil dalam tempoh terdekat secara gradual ke pejabat SPRM untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM dengan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Berbuka Puasa di Kota Kinabalu pada Selasa lalu.

Pada majlis menandatangani nota kerjasama itu, SPRM diwakili Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy manakala DBKK diwakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

BACA: SPRM Siasat Ismail Sabri Berkaitan Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Sumber SPRM turut dilaporkan berkata suruhanjaya itu telah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

Sebanyak 23 lagi saksi baharu dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Sebelum ini, perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Feb lepas.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut Azam, siasatan dijalankan secara profesional dan dakwaan kononnya SPRM telah meletakkan wang sebanyak RM170 juta dalam safe house itu adalah tidak munasabah.

BACA: SPRM Tahan Empat Pegawai Punyai Kaitan Dengan Bekas PM Ismail Sabri

BACA: Ismail Sabri Dimasukkan Ke Hospital, Kini Stabil – Setiausaha Akhbar

Sumber: BERNAMA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.