322 Rakyat Palestin Terbunuh Atau Hilang Dalam Tempoh 5 Jam Selepas Serangan Israel
ANKARA, 18 Mac (Bernama) — Pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza, serangan berlaku dalam keadaan sekatan masih dikenakan ke atas Gaza serta semua lintasan sempadan ditutup, memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk terputus bekalan keperluan asas.
BACA: Tentera Israel Lancar Serangan Besar-Besaran Di Gaza, 110 Terkorban
Mereka menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan hak asasi manusia, agar segera bertindak menghentikan serangan ini.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan serangan ke atas Hamas bagi mencapai matlamat perang seperti yang ditetapkan oleh kepimpinan politik.
Sebaliknya, Hamas menuduh kerajaan Israel mengisytiharkan perang ke atas Gaza dengan memungkiri perjanjian gencatan senjata.
Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui, pihak berkuasa Gaza sebelum ini melaporkan bahawa tentera Israel terus melakukan pelanggaran hampir setiap hari.
Sumber: Bernama
BACA JUGA: Pegawai Kanan Keselamatan Hamas Dilaporkan Terkorban