Siakap Keli
bandar paling bahagia 2025
Kredit: Bernama

20 Bandar Paling Bahagia Di Malaysia 2025

20 Bandar Paling Bahagia Di Malaysia 2025

Tidak ada individu yang tidak mengiimpikan untuk menetap di kawasan yang dilengkapi segalanya. Kewujudan pengurusan bandar yang sistematik dan mengutamakan kebahagiaan penduduk merupakan antara faktor utama bagi mencapai impian ini.

Tahukah anda? Setiap tahun, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengumumkan senarai Bandar Paling Bahagia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan pada 20 Mac.

Senarai ini terbahagi kepada dua kategori iaitu lapan bandar tersenarai dalam Kategori Majlis Daerah manakala 12 lagi berada dalam Kategori Majlis Bandaraya atau Perbandaran.

Bagi tahun 2025, anugerah ini diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming petang tadi di Dewan Kristal, KPKT Putrajaya.

Siapa sangka, warga Bandar Lipis, Pahang merupakan rakyat Malaysia paling bahagia bagi tahun 2025. Anugerah Kategori Majlis Daerah itu diikuti Cameron Highlands juga di negeri Pahang dan Bandar Kuala Krai di Kelantan. Tempat keempat disandang oleh Bandar Baharu, Kedah manakala tempat kelima jatuh kepada Bandar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Di tempat keenam, sebuah lagi daerah di Pahang menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia iaitu Bandar Jerantut. Ia diikuti Bandar Jelebu, Negeri Sembilan di tangga ketujuh dan Bandar Telupid, Sabah di tangga kelapan.

Kredit: KPKT

Bagi Kategori Majlis Bandaraya atau Perbandaran pula, penduduk di Bandar Bintulu, Sarawak diiktiraf paling bahagia tahun ini. Tempat kedua pula disandang oleh tempat kelahiran Biduanita Negara, Dato Sri Hajah Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Bandar Temerloh, Pahang.

Ia diikuti Bandaraya Johor Bahru dan Bandaraya Diraja Klang di tempat ketiga dan keempat. Dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia, Bandar Port Dickson di Negeri Sembilan tidak terkecuali dan berada di tempat kelima. Begitu juga Bandar Jasin, Melaka dan Bandar Pontian, Johor yang menduduki tempat keenam dan ketujuh.

Kredit: KPKT

Tanpa diduga, Bandar Ampang Jaya di Selangor mendapat tempat kelapan bagi Bandar Paling Bahagia kategori ini. Tidak ketinggalan, Bandar Batu Pahat, Johor dan Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka berada di tangga kesembilan dan ke-10.

Dalam pada itu, Bandaraya Petaling Jaya, Selangor dan Bandar Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya berjaya mendapat tempat di anak tangga ke-11 dan ke-12.

Menerusi siaran media KPKT, tahap kebahagiaan penduduk ini diukur menggunakan Indeks Kebahagiaan yang mengukur tahap kesejahteraan penduduk secara umum.

“Di peringkat negara, tahap kebahagiaan penduduk di dalam kawasan Pihak Berkuasa Temaptan (PBT) diukur melalui Indeks Kebahagiaan di bawah Program Jaringan Penunjuk Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets), yang diselia oleh KPKT melalui PLANMalaysia,” jelas kementerian tersebut.

Indeks tersebut merangkumi aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan fizikal serta tahap dan kualiti perkhidmatan PBT. Antara perkhidmatan yang diambil kira termasuk penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

Dapatan Kajian Indeks Kebahagiaan menunjukkan sebanyak 115 bandar daripada keseluruhan 153 PBT yang terlibat mencapai status bahagia. Selebihnya pula iaitu 38 bandar dalam status sederhana bahagia.

BACA: Redah Banjir, Pemandu Treler Dipuji Tumpangkan Penunggang Motor 

Sumber: KPKT, MURNInets, PLANMalaysia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.