Gunung Lewotobi Laki-laki Meletus, Tinggi Abu Capai 8,000 Meter
KUPANG — Gunung Lewotobi Laki-laki di Kabupaten Flores Timur, NTT dilaporkan meletus sebanyak dua kali, lapor CNN Indonesia.
Difahamkan, letusan pertama berlaku pada jam 22.56 malam tadi (waktu tempatan) dan letusan kedua pada jam 12.10 awal pagi waktu tempatan.
Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) telah menaikkan status gunung berapi itu dari Tahap 3 kepada Tahap 4.
“Berlaku letusan Gunung Lewotobi Laki-laki, Nusa Tenggara Timur pada 20 Mac 2025 pukul 22.56 malam.
“Dengan ketinggian abu mencapai sekitar 8,000 meter di atas puncak (lebih kurang 9,584 meter di atas permukaan laut),” kata Jurucakap Petugas PPGA, Emanuel Fofinus Bere dalam satu kenyataan.
Katanya, letusan yang berlaku selama 11 minit 9 saat berkenaan mengakibatkan abu tebal berwarna kelabu hitam naik di ruang udara dan bergerak ke arah barat daya dan barat.
Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk di tujuh perkampungan melibatkan Dulipali, Padang Pasir, Nobo, Klatanlo, Hokengjaya, Boru, dan Nawakote, agar sentiasa berwaspada terhadap potensi banjir lahar.
Ia berikutan lahar yang mengalir melalui sungai-sungai berada di hulu puncak gunung itu.
“Penduduk yang terjejas oleh hujan abu dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka atau penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan kesan buruk terhadap sistem pernafasan akibat abu gunung berapi,” katanya lagi.
https://x.com/RadioElshinta/status/1902771565697306638?t=OP2Lhw_yDz-uBnr7L5OoXg&s=19&fbclid=IwY2xjawJJnbxleHRuA2FlbQIxMAABHV9AbQbf01cD6uljSdLhkL5FbuLkyIh4hfEfVfVaBWsoLBhCjSNr-IJ8Sw_aem_EhtKPr4W2_RRjRgaIu5b7Q
Sebelum ini, letusan pertama Gunung Lewotobi Laki-laki menyebabkan dentuman yang sangat kuat sehingga mengejutkan penduduk sekitar. Letusan tersebut mengakibatkan gangguan bekalan elektrik akibat muntahan lahar daripada gunung berkenaan.
Pada tahun lalu, Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Indonesia dilapor meletus pada pagi Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut.
Letusan mengakibatkan kira-kira 10,295 penduduk turut terjejas dengan kejadian berkenaan. Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, mengesahkan angka korban itu pada satu sidang media
Sumber: CNN Indonesia