Atlet Sakit Jantung Di Atas Padang, Kini Bertarung Nyawa
Bekas kapten pasukan kriket Bangladesh yang juga pernah menyinar bersama kelab Essex, Tamim Iqbal, kini berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami serangan jantung ketika beraksi di padang.
Difahamkan, insiden cemas itu berlaku semasa Perlawanan Liga Perdana Dhaka.
Pemain berusia 36 tahun tersebut dilaporkan mengadu sakit di bahagian dada sebelum perlawanan bermula.
Ketika berada di padang, keadaannya semakin memburuk sehingga memerlukan rawatan kecemasan sebelum dia segera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut.
Menurut laporan, Tamim pada mulanya cuba dibawa ke sebuah kemudahan perubatan di Dhaka, namun usaha itu gagal.
“Dia mengalami serangan jantung. Apa yang saya tahu setakat ini ialah jantungnya mula berfungsi dengan lebih baik. Dia menjalani pemeriksaan awal di hospital tempatan, di mana masalah jantung ringan disyaki.
“Usaha telah dibuat untuk membawanya ke Dhaka. Tetapi dalam perjalanan ke helipad, dia mengalami sakit dada yang teruk dan terpaksa dikejarkan balik. Laporan perubatan kemudian mengesahkan ia adalah serangan jantung yang besar,” kata pegawai perubatan Lembaga Kriket Bangladesh, Debashis Chowdhury.
Akhirnya, beliau dihantar semula ke Hospital Fazilatunnesa di Savar bagi mendapatkan rawatan segera.
Sementara itu, ahli fisioterapi pasukan Mohammedan, Enamul Haque, turut berkongsi detik cemas itu.
“Semuanya kelihatan normal pada waktu pagi ketika kami tiba di lapangan.
“Tetapi selepas turun padang, dia tiba-tiba mengadu sakit dada. Kami bertindak pantas dan terus membawanya ke hospital,” katanya.
BACA: Tang Jie-Ee Wei Direhatkan Sementara Waktu – Nova Widianto
BACA: Piala MFL Musim 2025/2026 Dimansuhkan
BACA: Rodtang Masih Berbisa, Tak Ambil Masa Lama Tumbangkan Takeru
Sumber: Stadium Astro