Siakap Keli
rodtang tumbangkan takeru
Kredit: ONE Championship/Rodtang Jitmuangnon

Rodtang Masih Berbisa, Tak Ambil Masa Lama Tumbangkan Takeru

Rodtang Masih Berbisa, Tak Ambil Masa Lama Tumbangkan Takeru

Pertarungan yang diadakan di bulan Ramadan tidak menjadi penghalang buat bekas Juara Dunia ONE Featherweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon menumbangkan pihak lawan dari Jepun, Takeru Segawa, lapor ONE Championship.

Pertarungan menerusi acara utama ONE 172 Kickboxing di Saitama, Jepun itu hanya berlangsung selama 80 saat dalam pusingan pertama sebelum tumbukan Rodtang menumpaskan lawannya.

Pada awal pertarungan, kedua-dua petarung memilih untuk menggunakan kaki. Namun, keseimbangan pertarungan terganggu tatkala Rodtang melancarkan tumbukan hook kiri mengenai lawan. Melihat pihak lawan dalam kesakitan, Rodtang meneruskan serangan dengan gabungan satu-dua berdekatan tiang penjuru sebelum melepaskan coup de grace.

Pertarungan dihentikan pada minit 1:20 pusingan pertama apabila Takeru gagal kekalkan posisinya.

Rodtang membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak USD50,000 (RM221,149).

Menerusi laman Instagram peribadinya, Rodtang mengucapkan terima kasih buat semua.

“Terima kasih atas segalanya, saya amat gembira dapat mempersembahkan segalanya walaupun berdepan dengan tekanan. Saya boleh lakukannya, jumpa lagi dalam pertarungan seterusnya,” titip petarung itu.

Terdahulu, menerusi temu bual bersama Bangkok Post, Rodtang akui beliau terpaksa memilih untuk tidak berpuasa pada Ramadan kali ini sehingga tamat pertarungan.

“Seperti yang anda semua tahu, bulan ini bulan Ramadan tetapi memandangkan saya bakal hadapi pertarungan, ia satu pengecualian,” katanya.

Menurutnya, dia memerlukan setiap tenaga bagi menumbangkan bekas Juara K-1 itu.

“Andai kata saya berlatih dengan bersungguh-sungguh, saya masih boleh makan sesuatu bagi mengekalkan tenaga saya dan bersedia untuk bertarung.

“Saya akan berpuasa selepas tamat pertarungan tersebut,” jelas Rodtang.

Rodtang sebelum ini juga memutuskan untuk mendapatkan khidmat pakar nutrisi terkenal, Peter Miller bagi membantunya melepasi kelayakan berat dan hidrasi. Langkah ini diambil selepas petarung berusia 27 tahun itu gagal melepasinya pada November lalu.

“Benar, kali ini segalanya lebih baik sejak dia datang membantu saya membuat persiapan dan mengawal nutrisi saya setiap hari.

“Saya tak perlu berhenti makan seperti yang saya lakukan sebelum ini semasa saya perlu lepasi kelayakan berat dan hidrasi. Ia sangat membantu dalam persiapan saya sebelum menghadapi pertarungan itu.

“Saya akan kekalkan cara ini bersama pakar nutrisi saya kerana Muay Thai merupakan kerjaya saya, sukan ini kegemaran saya dan 100 peratus saya akan teruskan melangkah ke hadapan,” tegasnya.

https://www.instagram.com/reel/DHiurYwueQG/?utm_source=ig_embed&utm_campaign=loading

https://www.facebook.com/reel/8750846111684005

BACA: Jaguh Muaythai, Rifdean Masdor Menang Debut ONE Championship Dengan TKO

Sumber: ONE Championship, Bangkok Post

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.