Utama

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Arab Saudi Tetapkan Bayaran Dam Sebagai Pra-Syarat Visa Haji 2026
Lembaga Tabung Haji memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa setiap bakal jemaah haji yang menunaikan haji Tamattuk dan Qiran perlu membuat bayaran dam lebih awal kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) sebagai pra-syarat pengeluaran visa haji mulai Musim Haji 1447H/2026M.
Tabung Haji akan menguruskan pembayaran dam bagi pihak jemaah, dengan jumlah ditetapkan RM810 bagi seekor kibas.
Bayaran boleh dibuat mengikut jenis ibadat haji melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan Tabung Haji bermula 1 Ramadan.
Bagi jemaah yang tidak membuat pembayaran awal, bermula 1 Syawal, Tabung Haji akan membekukan jumlah tersebut dari akaun masing-masing sebelum mendebitkan amaun secara automatik.
“Pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang ditetapkan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran bagi musim haji ini
"TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad menerusi satu kenyataan.
Di samping itu, semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu melaksanakan bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci.
Bagi jemaah haji Ifrad, bayaran dam akan dipulangkan sekiranya akaun Tabung Haji telah didebit, tertakluk kepada pengesahan Tabung Haji.
Sementara itu, penyertaan Qurban di Tanah Suci tahun ini dibuka kepada semua pendeposit Tabung Haji dengan kadar RM810 bagi seekor kibas, dan pembayaran boleh dilakukan melalui THiJARI atau kaunter cawangan Tabung Haji di seluruh negara.
"TH ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan Qurban di Tanah Suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan kerana kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakan dam dan Qurban di Tanah Suci," ujar kenyataan lagi.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03- 62071919.