Siakap Keli
masjidil haram 23 ramadan
Kredit: Haramain Info

Lebih 3 Juta Jemaah Penuhi Masjidil Haram Malam 23 Ramadan

Lebih 3 Juta Jemaah Penuhi Masjidil Haram Pada Malam 23 Ramadan

MEKAH — Lebih tiga juta jemaah dilapor memenuhi Masjidil Haram pada hari 22 Ramadan dan malam 23 Ramadan tahun ini, lapor Saudi Gazette.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah mendedahkan hampir 592,100 jemaah menunaikan solat Subuh pada 22 Ramadan, diikuti 518,000 bagi waktu Zohor.

Jumlah tersebut meningkat pada waktu Asar iaitu seramai 547,700 jemaah hadir menunaikan solat berjemaah.

Pada waktu Maghrib, sejumlah 710,500 jemaah hadir dan jumlah ini meningkat kepada 732,700 jemaah ketika menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

Kementerian tersebut turut mendedahkan jumlah keseluruhan jemaah Umrah yang masuk ke Masjidil Haram melalui pintu utamanya mencapai 662,500 orang.

Sementara itu, data kementerian berkenaan turut menunjukkan catatan jumlah kemasukan jemaah tertinggi menerusi Pintu Raja Abdulaziz iaitu seramai 235,800 jemaah. Di pintu Bab Al-Salam pula mencatatkan kemasukan seramai 32,300 jemaah manakala Bab Al-Hudaybiyah mencatatkan data kemasukan seramai 69,600 jemaah.

Seramai 111,400 jemaah dicatatkan masuk melalui Bab Al-Umrah dan 172,700 menggunakan laluan di Pintu Raja Fahd.

Tingkatkan Kapasiti Perkhidmatan

Terdahulu, Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah meningkatkan kapasiti perkhidmatan yang setara di Masjidil Haram.

Langkah ini diambil sebagai persediaan menghadapi 10 malam terakhir Ramadan, lapor Agensi Berita Saudi.

Berikutan itu, ribuan petugas telah digerakkan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada para jemaah di masjid dan sekitarnya pada tahap tertinggi.

“Pasukan bantuan telah diwujudkan di 38 lokasi bagi menjawab pertanyaan jemaah.

“Petugas pembersihan juga mengambil masa 35 minit bagi membersihkan masjid tersebut. Malah, langkah mengharumkan kawasan dengan menggunakan bekas oud, lebih dua kilogram turut dijalankan sebanyak 20 kali sehari,” maklumnya,

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menyediakan 428 eskalator, 28 lif, 1,300 pembesar suara elektrik. Begitu juga 90,000 tan bekalan tenaga bagi menyejukkan Masjidil Haram.

Selain itu, tempat penyimpanan bagasi jemaah secara percuma turut disediakan termasuk kawasan khas bagi warga emas dan orang kurang upaya menunaikan solat dengan selesa.

Menariknya, pihak berkuasa turut menyediakan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi selama 24 setiap hari. Kereta sorong turut disediakan bagi membantu ibadah.

Difahamkan, sepanjang 10 hari terakhir Ramadan, satu ruang solat khas turut disediakan jemaah yang ingin melakukan iktikaf.

https://x.com/HaramainInfo/status/1904045549910700514

BACA: Meriah, Pelajar Dari Kelantan Buka Bazar Ramadan Di Mesir

Sumber: Saudi Gazette, Agensi Berita Saudi

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.