Kerat 27 Bahagian Sebelum Buang, Lelaki Bunuh Rakan Serumah
UNITED KINGDOM — Seorang lelaki mengaku tidak bersalah selepas membunuh rakan serumahnya dengan mengerat anggota badan mangsa kepada 27 bahagian sebelum membuang di beberapa lokasi berbeza tahun lalu, lapor BBC News.
Mahkamah Manchester menerima laporan, tertuduh, 42, telah membunuh mangsa, 67, menggunakan tukul sebelum mengerat badan mangsa dengan gergaji besi.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada malam antara 27 dan 28 Mac di rumah mereka di Winton, Salford.
Difahamkan, tertuduh memasukkan anggota badan mangsa ke dalam sebuah beg.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memaparkan seorang lelaki membawa sebuah beg berat di Bury New Road, Prestwich sebelum pulang tanpa beg itu (dipercayai telah dibuang).
Tiga minggu kemudian, identiti suspek dikenal pasti apabila tertuduh terserempak dengan salah seorang anggota polis yang menyiasat kes berkenaan.
Penemuan tertuduh membawa kepada siasatan dan penemuan kesan darah di sekitar rumah mereka.
Hasil pemeriksaan forensik mendapati, terdapat kesan darah ditemui pada permaidani, dinding dan papan pemuka laci di bilik tidur tertuduh dengan bukti pembersihan dilakukan.
Polis Manchester percaya, tertuduh berkemungkinan menggunakan khidmat pembersih permaidani profesional untuk menghilang kesan berdasarkan bukti.
Anggota badan mangsa pertama kali ditemui oleh orang awam di sebuah kubu terbiar, sebuah rizab alam semula jadi di Salford pada April tahun lalu.
Sementara polis turut menemui beberapa lagi anggota badan mangsa di beberapa lokasi seperti Linnyshaw Colliery Woods, Boggart Hole Clough, Blackleach Reservoir, Worsley Woods dan Chesterfield Close.
Bagaimanapun, hanya satu pertiga bahagian badan mangsa ditemui.
Siasatan mendapati, tertuduh mempunyai obesesi terhadap elemen keganasan dan filem seram, dipercayai menjadi motif pembunuhan.
Hakim Mahkamah mengambil masa kurang daripada dua jam untuk mencapai keputusan bersalah terhadap tertuduh, selepas perbicaraan dijalankan selama tiga minggu.
Tertuduh dijadualkan menerima hukuman penjara seumur hidup mandatori pada 28 Mac ini.
Sumber: BBC