Penduduk Batam Pilih Malaysia Sebagai “Laluan Balik Raya”
Sejumlah penduduk Batam, Kepulauan Riau, memilih untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri 2025 dengan menggunakan laluan melalui Malaysia.
Keputusan ini dibuat dipercayai kerana kos perjalanan melalui Malaysia didapati lebih murah berbanding penerbangan terus dari Lapangan Terbang Hang Nadim.
Bagas, penduduk Batam Center, merupakan salah seorang yang memilih laluan ini untuk pulang ke Jakarta.
Menurutnya, beliau dapat menjimatkan sehingga 300 ribu Rupiah seorang (sekitar RM80.30) bagi lima ahli keluarganya.
“Jika dikira secara keseluruhan, saya boleh menjimatkan sehingga 3.5 juta rupiah (sekitar RM934.50).
“Kos perjalanan melalui Malaysia ke Jakarta jauh lebih murah berbanding penerbangan terus dari Hang Nadim,” jelas Bagas seperti dilapor media tempatan.
Bagas berkata, beliau memperoleh tiket penerbangan Malaysia-Jakarta pada harga 500 ribu Rupiah seorang (sekitar RM133.50).
Sebaliknya, harga tiket penerbangan terus dari Batam ke Jakarta melalui aplikasi dalam talian boleh mencecah 1.5 juta Rupiah seorang (sekitar RM400.50).
Malah, pada hari yang sama, tiket penerbangan kelas perniagaan dari Batam ke Jakarta mencecah 8.7 juta Rupiah seorang (sekitar RM2,322.90) tanpa sebarang pilihan untuk kelas ekonomi.
Perjalanan melalui KLIA lebih berbaloi
Untuk perjalanan melalui KLIA, Bagas hanya perlu membayar tambang feri lintas sempadan antarabangsa sebanyak 300 ribu Rupiah (sekitar RM80.30) seorang.
Kos perjalanan darat dari Terminal Bas Larkin ke KLIA pula hanya memerlukan tambahan 100 ribu rupiah seorang (sekitar RM26.70).
“Dengan peruntukan 1.5 juta Rupiah (sekitar RM400.50) seorang, ia sudah mencukupi untuk menampung tambang feri dan bas dari Larkin ke KLIA. Malah, masih ada baki.
“Kesimpulannya, memilih laluan melalui Malaysia jauh lebih menjimatkan untuk perjalanan pulang ke kampung,” tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Batam, Panca Nugraha dari Tiban, terpaksa membatalkan rancangannya untuk pulang ke kampung.
Ini kerana beliau mendapati harga tiket penerbangan dari Batam ke Surabaya melonjak hingga 4 juta Rupiah seorang (sekitar RM1,068) bagi perjalanan pada Isnin.
Kini, Panca mempertimbangkan pilihan untuk pulang melalui KLIA setelah mendapati harga tiket penerbangan dari Malaysia ke Surabaya lebih berpatutan.
“Berdasarkan aplikasi tempahan, penerbangan dari Batam ke Surabaya melibatkan transit di KLIA. Jadi, lebih baik saya berlepas terus dari sana untuk pulang ke Surabaya,” katanya.
BACA: Individu Kumpulan Darah A, B & O Diminta Segera Tampil – PDN
BACA: 9 Bulan Di ISS, Ini 6 Masalah Kesihatan Yang Angkasawan Alami
BACA: Diana Danielle, Farid Kamil Sah Bercerai Kali Kedua
Sumber: Kompas, Metropolis