Hampir Lupa Cara Bawa Kereta Petrol Lepas Pandu Tesla Model 3
Penggunaan kereta elektrik di Malaysia ni masih lagi di tahap permulaan dan masih ramai lagi skeptikal dengan ketahanan bateri, jarak pemanduan dan stesen pengecasan.
Baru-baru ini, SK dihubungi pihak Tesla Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman memandu Tesla Model 3 varian Performance untuk tempoh 4 hari.
SK nak tahu jugak betul ke apa yang orang Malaysia risaukan selama ni pasal kereta elektrik ni.
Lepas SK ambil kereta di HQ Tesla di Cyberjaya, bateri dah siap cas penuh, SK terus pandu pulang ke kampung halaman di Jelebu, Negeri Sembilan.
Pengalaman Memandu
Perjalanan yang mengambil masa 1 jam setengah lebih kurang SK boleh katakan kereta elektrik ni sangat lancar pemanduannya.
Bunyi enjin tiada (memanglah takda sebab EV tiada enjin), bunyi dari luar hampir tiada dan kereta sangat responsif bila memecut. Sangat berbeza dengan kereta berenjin.
Hampir tiada ‘gap’ antara pijak pedal dan kereta tu memecut, tak seperti kereta berenjin yang kadangkala kurang responsif bila pedal minyak ditekan.
Cuma SK ni berbadan besar, agak kurang selesa dengan seat ala-ala ‘bucket’ pada SK kurang sesuai untuk orang yang berbadan besar.
Dari segi keselamatan memandu, SK tak risau sebab Tesla Model 3 ni lengkap dengan semua ciri keselamatan terkini dan Tesla Model 3 dapat pengiktirafan 5 bintang Euro NCAP.
Hiburan Dalam Kereta
Menurut Tesla Malaysia, Tesla reka cipta semua bahagian dalam kereta mereka dan sebab itu mereka boleh mengawal semua benda hanya melalui skrin sahaja.
Ya, skrin 15,4 inci menjadi nadi kepada Tesla Model 3 ni. Hampir semua fungsi boleh diakses melalui skrin infotainment sahaja.
Kalau masa cas kereta, kita boleh main game dan tonton Youtube sekali. So, takdalah bosan sangat menunggu kan.
Bila disambungkan dengan telefon, kita juga boleh akses Youtube Music dan Spotify melalui skrin, tidak perlu ada Apple Carplay atau Android Auto seperti kereta lain.
Penumpang belakang juga ada skrin 8inci yang membolehkan mereka tonton video walaupun ketika kereta bergerak. Skrin bahagian depan boleh tonton ketika kereta parking saja.
Apps Yang Sangat Memudahkan
Tesla juga kereta elektrik yang tak perlukan kunci dan boleh dibuka hanya menggunakan aplikasi telefon sahaja.
Ini sangat memudahkan bagi mereka yang suka lenggang kangkung bila keluar rumah.
Aplikasi Tesla boleh lock dan unlock kereta, boleh on air-cond sebelum kita masuk kereta dan boleh tonton live camera dari jauh. Boleh jadi cctv kat rumah jugak.
Jujur SK katakan, apps ini sangat memudahkan untuk mengaktifkan apa-apa fungsi kereta dari jauh.
Ciri Kegemaran SK
Ada beberapa ciri Tesla Model 3 ni yang menjadi kegemaran SK sepanjang 4 hari memandu.
Pertama, adalah auto parking assist. Ciri ini sangat membantu SK yang sangat malas nak kawal stereng masuk parking. Dia parkingkan untuk kita.
Kedua, tak perlu selalu tekan brek sebab bila lepaskan saja pedal acceleration, secara automatik kereta ini akan brek secara perlahan-lahan dan terus auto hold lepas kereta berhenti.
Ketiga, SK sangat suka bila Tesla Model 3 ni dah tahu kita nak reverse atau kedepan bila nak mulakan pemanduan. Hanya tekan brek sahaja
Tesla Model 3 varian Performance ni boleh pandu 528km untuk setiap pengecasan penuh jadi SK takada masalah untuk balik kampung dan pulang semula ke Cyberjaya.
SK hanya cas sekali je di Seremban sebelum balik ke Cyberjaya dengan kos RM20 sebab risau bateri dah bawah 30%.
Kesimpulan
Lepas 4 hari berturut pandu Tesla Model 3 ni, SK jadi kekok bila nak pandu kereta sendiri semula. Bila ciri-ciri yang best tadi tiada rasa kehilangan pula.
Sejujurnya, memandu Tesla Model 3 Performance untuk masa yang singkat sangat seronok dan berikan satu pengalaman yang berbeza dengan kereta ICE.
SK tak boleh beri ulasan untuk isu ketahanan bateri dan pengecasan di stesen dengan lebih lanjut sebab hanya dapat guna 4 hari je.